

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak kini dalam proses merangka perjanjian baharu Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan penerbangan ke kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah.
Menurut Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, perjanjian semasa antara Kerajaan Persekutuan dan MASwings Sdn. Bhd. telah ditandatangani pada 19 Disember 2024 untuk tempoh 12 bulan, dan akan tamat pada 31 Disember 2025.
“Justeru, rundingan sedang giat dijalankan antara kerajaan Sarawak melalui syarikat penerbangannya, AirBorneo, bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia serta agensi berkaitan untuk memuktamadkan terma dan syarat bagi perjanjian baharu.
“Langkah ini penting bagi memastikan tiada gangguan terhadap sambungan udara ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang amat bergantung kepada perkhidmatan ini,” jelas beliau ketika ditemui media di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa pengambilalihan MASWings oleh kerajaan Sarawak kini berada dalam fasa penyelarasan peraturan, termasuk keperluan mendapatkan kelulusan rasmi daripada beberapa pihak berkuasa penerbangan tempatan dan antarabangsa.
“AirBorneo yang bakal mengambil alih operasi MASWings akan terus beroperasi menggunakan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) sedia ada.
“Namun, perubahan struktur pemilikan syarikat memerlukan kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
“Semua langkah ini adalah perlu bagi memastikan AirBorneo mematuhi segala piawaian undang-undang dan peraturan penerbangan di peringkat nasional serta antarabangsa,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak komited untuk memperkukuh jaringan udara negeri ini, bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga ke kawasan luar bandar yang memerlukan perkhidmatan ini sebagai nadi penghubung kehidupan harian.
Oleh Masrin Affirah