
SIBU: Kerajaan Sarawak merancang untuk menubuhkan pusat rawatan jantung dan kanser di setiap bandar utama negeri itu dalam usaha memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan khusus.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pusat rawatan berkenaan perlu diwujudkan di setiap kawasan yang mempunyai jarak perjalanan tiga jam antara satu sama lain bagi memastikan liputan perkhidmatan kesihatan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat di negeri terbesar di Malaysia itu.
“Kenapa kita perlukan lebih banyak pusat (jantung dan kanser) selain di Kuching? Dari Miri ke Kuching, boleh sampai dalam tiga jam kah? Tidak boleh. Sarawak ini besar. Maka setiap tiga jam perjalanan itu perlu ada satu pusat rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina (PKKMC) Bahagian Sibu di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menegaskan bahawa penubuhan fasiliti kesihatan khusus ini tidak seharusnya ditangguh kerana ia merupakan satu keperluan demi kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk membiayai sendiri penubuhan pusat rawatan tersebut, meskipun ia secara prinsipnya berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.
“Banyak pertikaian daripada kerajaan Persekutuan apabila kita hendak laksanakan lebih banyak pusat khusus ini… kata tiada duit. Tak mengapa, kita bina guna dana sendiri dahulu,” katanya.
Menurut beliau, keyakinan itu turut disokong dengan pencapaian sedia ada pusat kesihatan di Sarawak yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Pusat Jantung Sarawak telah diiktiraf sebagai hospital pakar kardiologi ke-48 terbaik di rantau Asia Pasifik dan merupakan satu-satunya hospital awam dari Malaysia yang tersenarai.
“Hospital Umum Sarawak juga tersenarai sebagai hospital terbaik di Malaysia dan menerima pelbagai pengiktirafan dalam bidang kanser serta perubatan lain,” katanya.
Tambahnya lagi, geografi Sarawak yang luas memerlukan lebih banyak fasiliti kesihatan berbanding Semenanjung Malaysia agar rakyat tidak perlu menempuh perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.
Pada majlis tersebut, Dr Sim turut menyaksikan majlis angkat sumpah ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Bahagian Sibu yang diketuai oleh pengerusinya, Temenggong Datuk Vincent Lau, bagi sesi 2025-2026.
Turut hadir isteri beliau, Datin Amar Enn Ong; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng; ADUN Ngemah Anyi Jana; ADUN Tamin Christopher Gira Sambang dan Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta.
Oleh Tarani Lanting