
KUCHING: Sarawak telah merangka pelan jangka panjang dalam memastikan bekalan tenaga kekal stabil, termasuk mempercepat peralihan kepada tenaga hijau susulan krisis tenaga global.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, dasar peralihan tenaga yang dilaksanakan menjadi titik tolak penting dalam menghadapi ketidaktentuan bekalan tenaga dunia.
“Kita sudah merancang lama, dan dasar peralihan tenaga ini merupakan titik perubahan penting untuk seluruh dunia memikirkan tenaga alternatif yang perlu difokuskan.
“Sarawak telah mengambil langkah awal dengan memanfaatkan sumber semula jadi yang melimpah seperti sungai bagi pembangunan tenaga hidro.
“Selain itu, kita juga mempunyai potensi besar dalam tenaga solar kerana sumber cahaya matahari yang banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 di Kasuma Resort Clubhouse, Jalan Stadium, di sini.
Tambah beliau, Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga baharu seperti hidrogen hijau dan metanol sebagai alternatif masa depan.
“Perancangan ini terbukti relevan apabila berlakunya krisis di Asia Barat dan sebelum itu konflik di Ukraine, yang memberi kesan kepada bekalan tenaga global.
“Kedua-dua krisis tersebut menjadi pengajaran kepada negara-negara, khususnya di Asia, agar mengurangkan kebergantungan kepada minyak dan gas,” jelasnya.
Mengulas sama ada Sarawak perlu bimbang terhadap pengurangan bekalan tenaga, beliau menegaskan bahawa kebimbangan itu tetap ada, namun tidak seteruk negara lain.
“Apabila berlaku krisis tenaga, ia biasanya melalui tiga fasa utama. Fasa pertama melibatkan tempoh jangka pendek antara 12 bulan hingga tiga tahun, yang memerlukan langkah segera seperti mengurangkan penggunaan minyak dan gas.
“Fasa kedua pula adalah tempoh peralihan antara tiga hingga lima tahun yang melibatkan penggunaan campuran tenaga konvensional dan tenaga hijau.
“Fasa ketiga melibatkan peralihan secara besar-besaran kepada tenaga hijau yang boleh mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah