ABU DHABI: Kerajaan Sarawak merancang untuk membuka pejabat di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai usaha untuk memperkukuhkan kerjasama strategik bersama negara berkenaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagaimanapun berkata, lokasi yang sesuai bagi menempatkan pejabat Sarawak di Abu Dhabi masih lagi diteliti.
Katanya, jika perkara itu direalisasikan kelak, pejabat tersebut akan diuruskan oleh pihak Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
“Rancangan penempatan pejabat itu juga bertujuan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara di kawasan Asia Barat dan Asean yang lain serta berkongsi teknologi dengan pihak Abu Dhabi.
“Abu Dhabi sudah ada pusat data, dijanakan oleh tenaga diperbaharui melalui solar dan mereka ada kongsi bersama pihak pelabur.
“Kemungkinan kalau kita melihat ada keserasian di antara Asia Barat dan juga kita, mungkin kita dari peringkat Asean akan menjadi satu kerjasama erat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Bandar Masdar, Abu Dhabi pada Selasa sempena lawatan kerjanya ke UAE.
Turut sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni; Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili.
Abang Johari berkata, pejabat Sarawak di Abu Dhabi juga akan berperanan seperti Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak-Singapura (STATOS), Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak-Brunei (STATOB) dan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak-Kalimantan. – EDISI UKAS