
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi sukan antarabangsa dengan penganjuran dua kejohanan squash berprestij, 23rd Asian Individual Championships dan 2nd Asian Doubles Championships yang akan berlangsung di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya, di sini, Jun ini.
Sidang media rasmi sempena kejohanan tersebut telah diadakan di Asajaya Ballroom, Hotel Grand Margherita Kuching, dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu.
Berucap pada sidang media tersebut, Gerald melahirkan rasa bangga atas kepercayaan yang diberikan kepada Sarawak sebagai tuan rumah, dan menyifatkan penganjuran ini sebagai bukti kemajuan pesat pembangunan sukan di negeri berkenaan.
“Penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh mutu sukan Sarawak, bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah di persada dunia,” katanya.
Gerald turut menekankan bahawa kejohanan ini akan menjadi medan penting dalam penentuan ranking atlet, yang seterusnya akan menentukan kelayakan mereka ke Sukan Asia tahun depan.
Kejohanan Asian Individual ke-23, yang dijadualkan dari 17 hingga 21 Jun 2025, akan menyaksikan penyertaan daripada 18 negara.
Antara negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia (12 atlet), India (8), Chinese Taipei (8), Jepun (7), Korea Selatan (6), China (6), Pakistan, Kuwait, Iraq dan Sri Lanka (masing-masing 4), Iran dan Kazakhstan (2), Singapura (8), Hong Kong, China (8), Macau, China (3), serta Qatar dan Indonesia (masing-masing 1).
Sementara itu, Asian Doubles ke-2, yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 Jun 2025, bakal menampilkan penyertaan daripada 8 negara: Malaysia (12 atlet), India, Jepun dan Korea Selatan (masing-masing 8), Chinese Taipei dan Hong Kong, China (6), Pakistan (4) serta Iraq (2).
Kedua-dua kejohanan ini akan dianjurkan di Pusat Skuasy Sarawak, sebuah fasiliti bertaraf antarabangsa yang menjadi kebanggaan negeri ini.
Ini juga, katanya, merupakan kali pertama Sarawak menjadi tuan rumah kepada kedua-dua kejohanan secara serentak, mencerminkan pengiktirafan terhadap keupayaan penganjuran dan prasarana sukan negeri.
Kehadiran atlet-atlet elit dari seluruh Asia, ujarnya, dijangka menarik perhatian peminat sukan tempatan dan antarabangsa, sekali gus merancakkan sektor pelancongan sukan serta memberi impak positif kepada ekonomi setempat.
Oleh Norman B.