
KUCHING: Kerajaan Sarawak dan Persekutuan kini dalam perbincangan berhubung pelaksanaan levi perdagangan karbon sebagai mekanisme perkongsian hasil antara kedua-dua pihak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara tersebut adalah susulan pengiktirafan bahawa pengurusan alam sekitar dan aktiviti Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) terletak di bawah bidang kuasa negeri.
Katanya, rundingan itu merupakan hasil daripada persetujuan bersama bagi memastikan urusan kawal selia pelepasan gas rumah hijau (GHG) serta perdagangan karbon dilaksanakan secara tersusun dan tidak bertindih.
“Kerajaan Persekutuan bersetuju bahawa alam sekitar berada di bawah bidang kuasa negeri.
“Namun, disebabkan Malaysia ialah negara berdaulat yang perlu berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), maka satu levi akan diperkenalkan bagi membolehkan hasil daripada perdagangan karbon dikongsi antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Asia Rendah Karbon (ICLCA) 2025 di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, formula tersebut bukan sahaja memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju dasar hijau di Malaysia, tetapi turut memberi ruang kepada negeri untuk menggubal dan melaksanakan undang-undang sendiri berkaitan alam sekitar.
“Ketika kerajaan Persekutuan mahu memperkenalkan undang-undang CCUS, mereka menggunakan model undang-undang Sarawak sebagai rujukan.
“Namun, kita menjelaskan bahawa Sarawak mesti dikecualikan kerana tanah berada di bawah kuasa negeri,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak kini sudah mempunyai undang-undang tersendiri berkaitan pelepasan gas rumah hijau, menjadikannya negeri pertama di Malaysia meluluskan peraturan tersebut.
“Dengan asas undang-undang ini, kita sedang berbincang dengan Bank Dunia dan Verified Emission Reduction Accounting (VERA) untuk menentukan harga karbon yang munasabah bagi perdagangan antarabangsa.
“Kita juga menjalin rundingan dengan Korea dan Jepun bagi membangunkan mekanisme perdagangan karbon yang saling menguntungkan,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan perdagangan karbon adalah selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Oleh Shahrul Qaizat dan Norman B