BETONG: Sarawak sebuah negeri yang unik kerana mempunyai sistem pentadbiran lebih baik berbanding Semenanjung, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Sarawak mempunyai sistem pentadbiran akar umbi yang kuat. Banyak yang ada di Sarawak tidak ada di Semenanjung,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Seminar Pemerkasaan Institusi Pentadbiran Peringkat Akar Umbi 2022 Bahagian Betong di sini, hari ini.
Katanya, Malaysia dibahagikan kepada tiga peringkat pentadbiran iaitu Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan.
“Kerajaan Sarawak mempunyai cara mentadbir yang tersendiri. Kalau di Semenanjung tidak ada residen, temenggung, pemanca dan tuai rumah. Di Sarawak, pimpinan akar umbinya terbahagi kepada beberapa bahagian yang tidak ada di Semenanjung. Ini menjadikan sistem pentadbiran kita kuat dan unik.
“Sebab itu, apabila kita membangunkan Sarawak dengan dasar yang dibuat oleh kerajaan, kita sudah ada proses untuk mentadbir termasuk pemimpin akar umbi. Oleh itu, pemimpin di peringkat akar umbi penting dan mereka adalah orang yang dihormati,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari turut menzahirkan ucapan tahniah kepada jawatankuasa yang menganjurkan seminar ini yang mana ia telah memberi maklumat mengenai pentadbiran dan proses pembangunan yang dimainkan oleh mereka sebagai pemimpin akar umbi.
Pada 7 Februari lalu, Abang Johari telah melancarkan Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030). PCDS 2030 merupakan usaha untuk menyusun semula dasar pembangunan Sarawak supaya terus berada pada landasan yang betul ke arah menjadi negeri maju menjelang 2030.
“ Bagi memastikan kelancaran dalam mencapai objektif pelan tersebut, penglibatan semua pihak terutama sekali pemimpin peringkat akar umbi iaitu dalam kalangan Ketua Masyarakat, Ketua Kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kaunselor amatlah diperlukan.
“ Di samping menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat, mereka juga merupakan penghubung bagi menerangkan dasar kerajaan kepada penduduk tempatan,” katanya.
Selaras dengan itu, penganjuran seminar ini sangat tepat bagi memperkasakan kesiapsiagaan pemimpin peringkat akar umbi agar dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan seiring dengan strategi pembangunan Kerajaan Negeri di bawah PCDS 2030.
Antara objektif seminar ini ialah menyampaikan maklumat berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab Ketua Masyarakat, Ketua Kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kaunselor selaku pemimpin peringkat akar umbi dalam mencapai objektif strategik PCDS 2030 di samping mendedahkan peranan pemimpin peringkat akar umbi berkaitan perancangan pembangunan oleh kerajaan.
Seramai 747 peserta seminar terdiri daripada 50 Ketua Masyarakat, 633 Ketua Kaum dan 64 Kaunselor menyertai Seminar Pemerkasaan Institusi Pentadbiran Peringkat Akar Umbi 2022 Bahagian Betong yang diadakan di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong petang ini.
Oleh NUR AIN OTSMAN