
BANDAR SERI BEGAWAN: Sarawak memberi tumpuan serius terhadap usaha memperkukuh sektor keterjaminan makanan negeri.
Sehubungan itu, perhatian turut diberikan kepada pembangunan sektor pertanian dan penternakan secara komersial, khususnya di kawasan utara Wilayah Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Daerah Limbang dan Lawas dikenal pasti sebagai antara kawasan utama untuk projek penanaman padi berskala besar yang akan dilaksanakan menerusi peruntukan pembangunan bernilai RM500 juta.

Dana itu meliputi penyediaan infrastruktur termasuk sistem perparitan, jalan dan prasarana pertanian lain bagi menjayakan pengeluaran padi tempatan secara mapan.
“Keterjaminan makanan terus diberi tumpuan kerajaan dengan mengusahakan penanaman padi secara komersil di Limbang dan Lawas. Jika ada pelabur dari Negara Brunei Darussalam yang berminat, kita alu-alukan kerjasama bagi manfaat bersama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada majlis pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara LCDA Agri Business Sdn Bhd dan Sahamada Corporation Sdn Bhd bagi Projek Rimbunan Kaseh (RK) Sundar Lawas di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak–Brunei (STATOB) di sini semalam.

Seterusnya Awang Tengah memberitahu kawasan utara Sarawak juga berpotensi menjadi hab halal untuk penghasilan produk ternakan yang boleh dieksport ke pasaran global.
Katanya, kedudukan strategik wilayah itu yang bersempadan dengan Brunei memberi kelebihan dari segi logistik, selain memanfaatkan reputasi tinggi persijilan halal Brunei di peringkat antarabangsa.
“Ini penting kerana kita boleh menjadikan Limbang, Lawas dan Miri sebagai pusat pengeluaran ternakan, manakala pemprosesan dilakukan di Brunei dengan pensijilan halalnya untuk menembusi pasaran antarabangsa,” jelasnya.
Beliau menegaskan peranan sektor swasta amat penting dalam menjayakan pembangunan agromakanan negeri, dengan sokongan penuh kerajaan melalui pelbagai jabatan dan agensi berkaitan.
Menurutnya, kerjasama berasaskan tanggungjawab bersama antara kerajaan dan sektor swasta perlu diperkukuh bagi memastikan setiap projek dilaksana memberi manfaat optimum kepada rakyat dan ekonomi negeri.
Oleh Adeng Idrus