
PETRA JAYA: Sarawak komited memperuntukkan RM350 juta bagi menjayakan penganjuran Sukan SEA akan datang, sekali gus menzahirkan kesediaan negeri ini untuk menjadi antara tonggak utama temasya sukan serantau itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata jumlah tersebut merupakan separuh daripada anggaran kos keseluruhan sekitar RM700 juta, manakala baki ditanggung Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, komitmen kewangan itu dimuktamadkan menerusi surat jaminan yang dibawa ke Kabinet Persekutuan selepas mendapat persetujuan kepimpinan negeri.
“Ini komitmen rasmi kerajaan negeri. RM350 juta adalah bagi kos penganjuran dan tidak termasuk kos pembangunan tambahan,” katanya selepas kunjungan hormat oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Persekutuan, Mordi Bimol ke pejabat Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) di Tingkat 17, Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod penganjuran di Kuala Lumpur pada 2017, kos ketika itu mencecah RM600 juta hingga RM650 juta, justeru unjuran semasa adalah munasabah mengambil kira faktor semasa.
Dalam perkembangan sama, Sarawak turut diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah majlis pembukaan temasya tersebut.
“Kita yakin mampu melaksanakan majlis pembukaan bertaraf antarabangsa. Ini kepercayaan besar kepada Sarawak dan kita akan pastikan ia menjadi antara yang terbaik,” tegasnya.
Beliau menambah, keyakinan itu lahir daripada rekod penganjuran acara berskala besar sebelum ini serta kesiapsiagaan logistik dan kemudahan sukan negeri.
Oleh Shikin Mahmud