
KUCHING: Pelaburan berterusan dalam bidang seni persembahan mampu menjadi pemacu penting kepada pembangunan masyarakat serta perpaduan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang diwakili Timbalan Menterinya, Datuk Snowdan Lawan berkata selain memperkukuh sektor pelancongan budaya, seni persembahan turut berperanan sebagai platform menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang dan menginspirasikan generasi muda.
“Melihat kanak-kanak dan golongan belia tampil di pentas minggu ini mengingatkan kita betapa pentingnya pelaburan dalam bidang seni persembahan.
“Anda bukan sahaja merupakan masa depan dunia muzik, malah juga masa depan kepada persefahaman dan perpaduan global,” katanya semasa Majlis Penutupan Festival dan Simposium Koir Antarabangsa Sarawak 2025, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, Sarawak kini memberi tumpuan kepada muzik, seni dan kreativiti sebagai tunjang utama dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan budaya unggul di rantau ini.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, kerajaan negeri turut menubuhkan Pusat Seni Persembahan Sarawak dengan peruntukan hampir RM300 juta bagi memperkukuh ekosistem seni tempatan.
“strategi tersebut selari dengan aspirasi untuk menjadikan Sarawak bukan sahaja dikenali kerana keindahan alam semula jadi, tetapi juga sebagai pusat kecemerlangan dalam ekspresi seni dan budaya yang menyatukan masyarakat pelbagai bangsa.
“Kini Sarawak berbangga dengan kekayaan warisan budayanya dan saya percaya akan kekuatan seni persembahan yang bukan sahaja mampu mengangkat dan memberi inspirasi, tetapi juga menyatukan masyarakat,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah