Sarawak peruntuk RM1 juta perluas penyelidikan sosial pada 2027

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Fatimah Abdullah ketika menyampaikan geran kepada penerima.

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM1 juta bagi tahun 2027 untuk memperluaskan penyelidikan sosial di negeri ini, termasuk kajian berskala makro dan kualitatif.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata peruntukan berkenaan akan membuka peluang kepada institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan membida pelaksanaan kajian berskala besar melibatkan isu sosial di seluruh Sarawak.

Menurutnya, pendekatan penyelidikan berasaskan data penting bagi memastikan dasar, program dan sistem sokongan kerajaan dirangka berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.

“Sarawak menuju ke hadapan. Sebarang program atau dasar jangka panjang dan pendek perlu berpandukan data yang tepat (data-based) supaya setiap perancangan kerajaan kekal berada di landasan yang betul demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Geran Penyelidikan Majlis Pembangunan Sosial (MPS) di sini, hari ini.

Fatimah berkata, peluasan skop penyelidikan itu turut mengambil kira cabaran sosial yang bakal dihadapi Sarawak, termasuk persediaan menghadapi perubahan demografi apabila negeri ini dijangka mencapai status negeri menua menjelang 2028.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM334,986 diperuntukkan pada 2026 bagi membiayai empat kajian jangka pendek berkaitan isu sosial di Sarawak.

Antaranya ialah kajian Penglibatan Wanita Sarawak dalam Pembuatan Keputusan dalam Perkhidmatan Awam yang meneliti penglibatan wanita dalam jawatan pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam Sarawak.

Kajian berkenaan dijangka disiapkan dalam tempoh lima hingga enam bulan dan menggunakan pendekatan statistik bagi membandingkan kedudukan wanita di peringkat pembuat keputusan seperti Pengarah, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Residen berbanding 10 tahun lalu.

Fatimah berkata, penubuhan badan khas penyelidikan di bawah MPS yang diluluskan Kerajaan Sarawak pada Oktober 2025 merupakan antara langkah untuk memperkukuh penyelidikan berkaitan isu sosial di negeri ini.