SHAH ALAM: Gandingan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Dayang Nursharzyra Awang Abdillah memastikan Sarawak mempertahankan gelaran juara keseluruhan acara terjun Sukan Malaysia (Sukma) apabila menghadiahkan pingat emas ketujuh buat Bumi Kenyalang menerusi acara 3 Meter Papan Anjal Seirama Wanita, hari ini.
Kejayaan pasangan itu bukan sahaja menambah koleksi emas Sarawak, malah secara rasmi mengesahkan kontinjen tersebut sebagai juara keseluruhan acara terjun buat edisi kedua berturut-turut selepas turut mengungguli sukan berkenaan pada Sukma 2024.
Nur Eilisha dan Dayang mempamerkan aksi konsisten untuk mengumpul 221.01 mata keseluruhan, sekali gus menewaskan pasangan Wilayah Persekutuan, Teng Hui Xue dan Lee Yiat Qing yang meraih perak dengan 217.56 mata.
Pingat gangsa pula menjadi milik gandingan Selangor, Ayu Syuhaida dan Jannah selepas mencatatkan 209.01 mata.
Pasangan Sarawak memulakan saingan dengan 39.60 mata pada terjunan pertama sebelum menambah 42.00 mata pada percubaan kedua untuk mengumpul 81.60 mata.
Mereka terus mengukuhkan kedudukan menerusi terjunan ketiga dengan 46.80 mata sebelum mengumpul 49.41 mata pada terjunan keempat bagi mendahului saingan dengan 177.81 mata.
Meskipun menerima tekanan hebat daripada pencabar pada siri terakhir, Nur Eilisha dan Dayang berjaya mengekalkan ketenangan untuk menamatkan pertandingan dengan 221.01 mata, sekali gus meraih emas dengan kelebihan tipis 3.45 mata.


NUR Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj dan Dayang Nursharzyra Awang Abdillah ketika majlis penyampaian pingat.
Tidak lama selepas kejayaan itu, kem terjun Sarawak terus diraikan apabila Elvis Priestly Clement menghadiahkan satu lagi pingat emas menerusi acara 10 meter platform individu lelaki.
Penerjun berusia 19 tahun itu bangkit pada terjunan terakhir menerusi percubaan berintensiti tinggi untuk mengumpul 397.30 mata keseluruhan dan memintas pencabar lain pada saat akhir.
Menurut Elvis, tahap kesukaran terjunan yang dipilih menjadi faktor utama kejayaannya meraih emas.
“Saya boleh katakan saya menang kerana tahap kesukaran terjunan. Kalau tahap kesukaran saya sama dengan mereka, mungkin saya berada di tempat kedua atau ketiga.
“Hari ini memang rezeki saya,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan di Pusat Akuatik Darul Ehsan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, keletihan selepas mengharungi empat hari pertandingan berturut-turut sedikit menjejaskan prestasinya, namun tetap berjaya memberikan tumpuan pada saat penting.
“Cuaca sekarang agak panas dan saya rasa sedikit pening. Mungkin hari ini memang nasib saya dapat memintas pada saat akhir.

“Apa-apa pun, tahniah kepada Jared kerana dia juga melakukan yang terbaik,” katanya.
Kemenangan Elvis lebih manis apabila rakan sepasukannya, Jared Aiden Harold turut menaiki podium selepas meraih pingat perak dengan hanya dipisahkan 1.10 mata, manakala gangsa menjadi milik Muhammad Anilrian Normatrud dari Sabah dengan 340.65 mata.
Elvis mengakui melakukan beberapa kesilapan sepanjang pertandingan, namun percaya masih banyak ruang untuk memperbaiki persembahannya.
“Saya tidak fikir apa-apa ketika terjunan terakhir. Saya cuma mahu berehat, balik dan tidur kerana sudah tidak larat. Esok saya masih ada satu lagi acara terakhir,” katanya.
Setakat ini, skuad terjun Sarawak telah mengumpul lapan pingat emas dan berpeluang menambah koleksi tersebut menerusi dua lagi acara yang akan berlangsung esok, sekali gus berpeluang menghampiri pencapaian sembilan emas yang diraih ketika Sukma 2024.
Oleh Shahrul Qaizat





