
SIBU: Kerajaan Sarawak terus memperluas penubuhan Pusat Jantung Satelit di beberapa bahagian utama negeri ini bagi meningkatkan akses rawatan kardiologi.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pusat pertama di Bintulu sudah beroperasi, manakala Miri akan menjadi lokasi seterusnya selepas pemasangan mesin perubatan selesai di bangunan sedia ada.
“Selepas itu, Sibu pula akan mempunyai pusat satelit jantung. Yayasan Jantung Sarawak telah menyumbang lebih RM2 juta bagi menyediakan mesin MRI jantung kedua di Sarawak.
“Kita hanya menunggu bangunan siap untuk pemasangan mesin tersebut,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kesihatan Borneo Pertama dan Persidangan Kesihatan Sarawak Ke-41 di sini, hari ini.
Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menegaskan tidak semua mesin MRI boleh melakukan imbasan jantung, sekali gus menjadikan kemudahan itu penting dalam usaha meningkatkan rawatan kardiologi di Sarawak.
“Dasar besar memerlukan perancangan, tetapi usaha kecil seperti ini sedikit demi sedikit dapat membantu menyelesaikan isu sedia ada,” ujarnya.
Mengulas mengenai pusat satelit di Bintulu, Dr Sim berkata ia diwujudkan hasil penaiktarafan makmal kateterisasi (cathlab) bernilai RM2.5 juta.
“Dengan penaiktarafan itu, pesakit di Bintulu tidak perlu lagi ke Kuching untuk menjalani angiogram atau prosedur angioplasti mudah. Pusat jantung satelit di Bintulu dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 300 pesakit setahun,” katanya.
Beliau turut menegaskan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Yayasan Jantung Sarawak, membuktikan usaha meningkatkan kesihatan rakyat tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata.
“Dalam soal kesihatan, yang penting adalah mengambil peluang yang ada untuk memberi manfaat kepada rakyat,” tambahnya.
Oleh Akun Giman