
KUCHING: Sarawak perlu meneroka pasaran baharu seperti Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin bagi mempelbagaikan pasaran melangkaui rakan perdagangan tradisionalnya, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Beliau berkata pendekatan itu akan membuka peluang baharu dan mengurangkan risiko berkaitan terlalu bergantung kepada pasaran tertentu.
“Kita mesti mengukuhkan kerjasama dengan pemain industri, agensi promosi perdagangan dan pengedar global. Perkongsian strategik ini akan membuka akses kepada pasaran runcit, meningkatkan keterlihatan jenama dan mewujudkan jejak global lebih luas untuk jenama Sarawak,” katanya semasa berucap melancarkan Hari Eksport Sarawak 2025 di sini hari ini.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata teknologi memainkan peranan penting dalam membantu perniagaan bersaing di peringkat global.
Beliau berkata syarikat mesti menerima platform digital dipacu kecerdasan buatan (AI) dan blockchain untuk meningkatkan daya saing, ketelusan serta akses kepada pembeli global.
“Pembeli global hari ini mencari lebih daripada harga dan kualiti. Mereka mahukan kemampanan. Permintaan yang semakin meningkat ini didorong oleh tingkah laku pengguna.
“Oleh itu, pengeksport mesti memenuhi standard antarabangsa ketat yang menggabungkan amalan mampan,” katanya.
Awang Tengah berkata kementeriannya berkerjasama rapat dengan pengeksport untuk menyesuaikan mereka dengan perubahan peraturan, menyertai misi perdagangan dan mendapat pendedahan antarabangsa.
“Pejabat perdagangan kami di Singapura, Brunei dan tidak lama lagi di Pontianak, Indonesia merupakan laluan masuk utama untuk produk dan perkhidmatan Sarawak mendapat akses serta berkembang ke pasaran serantau dan seterusnya,” katanya. — Bernama