Sarawak perlu pemimpin berwawasan, berani terima perubahan – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika menyampaikan ucapan mengenai pembangunan kepimpinan berwawasan, kepentingan adaptasi teknologi serta aspirasi menjadikan Sarawak sebagai hab pembangunan kepimpinan serantau.

KUCHING: Sarawak berhasrat untuk membangunkan negeri ini sebagai hab pembangunan kepimpinan serantau, selain terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan global yang berlaku dengan pantas memerlukan pendekatan kepimpinan baharu yang bukan sahaja mampu menangani cabaran semasa, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Menurutnya, tiga asas penting dalam kepimpinan kontemporari ialah wawasan strategik, kebolehpercayaan dan keterangkuman yang perlu dibentuk melalui latihan, penyelidikan, bimbingan dan pembelajaran berterusan.

“Keunggulan kepimpinan tidak boleh diserahkan kepada nasib. Pemimpin perlu dibentuk, dilatih, dibimbing dan dilengkapi dengan prinsip serta amalan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alumni Sijil Profesional Kepimpinan Kontemporari (PCCL) sempena pelancaran Institut Kepimpinan Kontemporari (ICL) di Kuching, malam ini.

Abang Johari berkata, penubuhan ICL bukan sekadar untuk melahirkan pemimpin, tetapi turut membentuk kepimpinan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain menyediakan platform untuk membangunkan pemimpin masa depan yang beretika dan berwawasan.

Katanya, pendekatan berwawasan strategik itu turut diterapkan dalam pembangunan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang mengambil kira perubahan dan perkembangan jangka panjang.

“Ketika kita berdepan masalah akibat COVID-19, saya meminta supaya kita mengumpulkan semua kepakaran di Sarawak untuk merangka strategi, khususnya ekonomi dan sosial, yang dapat membawa Sarawak melangkaui tempoh 10 tahun.

“Kita perlu bersedia untuk tempoh 10 tahun melalui PCDS 2030 dan mungkin selepas 2030. Inilah yang kita panggil kepimpinan berwawasan, iaitu mengetahui trend dan perubahan keadaan yang perlu dipertimbangkan ketika merangka dasar baharu,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman pembangunan Sarawak juga boleh dijadikan bahan pembelajaran kepada pemimpin, eksekutif korporat, rangkaian belia ASEAN dan institusi pengajian tinggi antarabangsa.

SIMBOLIK pelancaran Institut Kepimpinan Kontemporari (ICL) yang menandakan langkah baharu Sarawak dalam memperkukuh pembangunan pemimpin berwawasan, berintegriti dan inklusif, selain meletakkan negeri ini sebagai platform pembangunan kepimpinan di peringkat serantau.

Malah, beliau melihat potensi untuk membangunkan konsep pelancongan kepimpinan dengan memberi peluang kepada peserta antarabangsa mempelajari pengalaman Sarawak dalam pembangunan menerusi PCDS 2030.

Antara bidang yang boleh diketengahkan termasuk pembangunan tenaga bersih dan boleh baharu, pembangunan komuniti luar bandar serta pendekatan keterangkuman sosial dan pemeliharaan kepelbagaian budaya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pemimpin masa depan perlu berani menerima dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, termasuk dalam usaha memperkukuh ekonomi dan keselamatan makanan.

Beliau memberi contoh kerjasama Sarawak dengan Universiti Yunnan, China dalam penyelidikan padi saka yang berpotensi meningkatkan pengeluaran padi.

Menurutnya, hasil penyelidikan di Baram menunjukkan padi saka itu berpotensi dituai sehingga empat kali setahun tanpa perlu menanam semula anak benih bagi setiap musim.

“Sebabnya, teknologi menghasilkan akar yang dapat merebak dan selepas padi dituai, tunasnya akan tumbuh semula secara automatik.

“Inilah yang dimaksudkan dengan teknologi. Kita memerlukan kepimpinan yang cukup berani untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu,” katanya.

Abang Johari berkata, pendekatan berasaskan teknologi juga perlu diterapkan dalam sektor tenaga, pertanian dan bidang strategik lain bagi memastikan sumber Sarawak dapat dimanfaatkan untuk manfaat masyarakat.

Beliau turut berkata, program PCCL yang telah melahirkan 59 peserta daripada dua kohort merupakan sebahagian daripada usaha berterusan membangunkan pemimpin yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan nilai kepimpinan.

Menurutnya, ICL berpotensi menjadi pusat pembangunan kepimpinan dan perkongsian ilmu bukan sahaja untuk Sarawak, tetapi juga di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Oleh Afiq Sallehi