
KUCHING: Sarawak tidak seharusnya mengejar arus digitalisasi secara membuta tuli tanpa mempertimbangkan nilai kemanusiaan dan realiti setempat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Informasi dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Menurut beliau, teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi keperluan dalam pembangunan negeri, namun pelaksanaannya mesti mengambil kira jurang kefahaman serta keupayaan rakyat di kawasan luar bandar yang masih berdepan kekurangan infrastruktur.
“Lebih 50 peratus kawasan Sarawak masih dikategorikan sebagai luar bandar. Ada tempat menara telekom ada, tapi tidak berfungsi.
“Kita tidak boleh bercakap tentang AI kalau sambungan internet pun tidak stabil,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis penutupan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2025 hari ini.
Beliau berkata, jurang maklumat dan kesedaran antara kerajaan dan rakyat perlu dirapatkan dengan mempercepatkan pembangunan infrastruktur serta pendedahan awal berkaitan teknologi termasuk di peringkat sekolah rendah.
Beliau turut menekankan bahawa kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM3 bilion bagi pembangunan infrastruktur digital, namun masih menerima aduan kawasan luar bandar yang tidak mempunyai sambungan internet yang stabil.
Dalam masa yang sama, beliau menggesa agar teknologi seperti AI digunakan dengan pendekatan yang seimbang dan tidak dilaksanakan secara membuta tuli.
“Kita tidak mahu ketinggalan tapi kita juga tidak mahu terlalu cepat menerima pakai teknologi secara borong sedangkan asasnya belum kukuh,” ujarnya lagi.
“Teknologi boleh bantu kerja, tapi tidak boleh menggantikan empati, rasa kasihan atau kasih sayang. Itulah yang membezakan manusia dengan AI,” tambah beliau dalam menekankan pentingnya nilai-nilai kemanusiaan dalam era digital.
Beliau turut berkongsi bahawa wartawan kini dibebani dengan kos penggunaan pelbagai aplikasi digital untuk kerja, yang menurutnya perlu turut difahami oleh pihak majikan.
Mengakhiri ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penceramah, peserta dan sukarelawan, sambil mencadangkan sesi perbincangan lanjutan secara lebih fokus membabitkan pihak penggubal dasar, pakar undang-undang dan pengawal selia.
Oleh Adele Rissa