
KUCHING: Sarawak perlu mengambil langkah proaktif dalam merangka pelan keselamatan bagi menghadapi ancaman kenaikan paras laut dan perubahan landskap geologi yang boleh menjejaskan kawasan pesisir negeri ini.
Insiden aliran balik air laut yang berlaku di pesisir pantai China dari Liaoning hingga Jiangsu pada Oktober 2024 menjadi peringatan penting terhadap risiko perubahan lapisan benua.
Kejadian tersebut menyebabkan bandar-bandar pesisir ditenggelami air dalam beberapa minit walaupun tanpa hujan atau angin.
China telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan bakat, industri, dan aset utama ke kawasan lebih selamat. Langkah ini boleh dijadikan contoh kepada Sarawak bagi menilai serta menangani kelemahan yang ada di kawasan pesisirnya.
Kajian menunjukkan ratusan kawasan kediaman, industri, dan loji tenaga di seluruh dunia berisiko tenggelam menjelang pertengahan abad ini akibat perubahan iklim.
Paras laut yang semakin meningkat boleh mengancam kawasan pesisir Sarawak yang menempatkan pelbagai infrastruktur penting.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni, berkata kerajaan perlu mengambil langkah segera dengan memasukkan unjuran kenaikan paras laut dalam perancangan pembangunan.
“Perancangan yang strategik perlu dilakukan bagi memastikan sektor tenaga, industri, dan kawasan kediaman tidak terjejas teruk jika kenaikan paras laut berlaku,” katanya dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan Profesor Woo Wing Thye dan Profesor Leong Yuen Yoong dari Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari PBB (SDSN), Universiti Sunway.
Dalam pertemuan itu, beberapa cadangan telah dikemukakan termasuk pemetaan kawasan berisiko, penilaian impak ekonomi dan sosial, serta pelaburan dalam infrastruktur tahan lasak.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka kerjasama lanjut dalam pemodelan sektor tenaga dan cadangan dasar bagi melindungi infrastruktur tenaga negeri ini.
Oleh Amanda L.