
SIMANGGANG: Sarawak menetapkan hala tuju ekonomi baharu dengan memperkukuh pertanian moden untuk menjadi pengeluar utama bahan makanan bagi keperluan domestik dan serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, strategi itu berlandaskan penggunaan teknologi mekanikal, moden serta sains pertanian yang mampu meningkatkan hasil secara drastik.
“Percubaan di kawasan Lubok Punggor, Gedong bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan keberkesanan kaedah baharu apabila hasil padi meningkat daripada satu tan kepada lapan tan sehektar.
“Ini bermakna pendapatan petani meningkat lapan kali ganda,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Benak 2025 Edisi ke-22 di Pentas Utama Tebingan Sri Aman, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, pengeluaran itu boleh berlipat ganda apabila Sarawak memanfaatkan teknologi sistem pengairan pintar melalui penggunaan sungai-sungai tempatan, sekali gus mengatasi cabaran perubahan iklim yang kini menjejaskan bekalan makanan global.
Menurutnya, contoh negara pengeluar padi seperti Thailand dan Vietnam kini mengehadkan eksport masing-masing, menjadikan pengeluaran tempatan sebagai pilihan strategik untuk menjamin keselamatan makanan negara.

“Di Sri Aman, kita akan memperluaskan projek sawah moden dengan penggunaan pam hidro dan tenaga elektrik, seterusnya membolehkan petani mengusahakan sehingga lima musim penanaman dalam tempoh dua tahun,” jelas Abang Johari.
Selain menampung keperluan negeri, Sarawak turut mengorak langkah menembusi pasaran antarabangsa melalui perkhidmatan kargo udara khusus, AirBorneo, yang menghantar hasil pertanian terus ke Singapura, malah juga ke Indonesia.
“Dengan populasi 2.8 juta, kita ada kelebihan untuk mengurus sumber dengan cekap dan pada masa sama membuka peluang pekerjaan baharu, terutama kepada generasi muda yang dilengkapkan dengan kemahiran teknologi moden,” tambahnya.
Abang Johari turut menegaskan kepentingan pendidikan sebagai kunci masa depan. Mulai tahun depan, Sarawak bakal menjadi negeri pertama di Malaysia yang menawarkan pendidikan universiti percuma kepada rakyatnya.
“Apabila negeri aman dan ekonomi berkembang, kita kembalikan hasil itu kepada rakyat. Pendidikan percuma adalah pelaburan masa depan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Sarawak turut menjadi tumpuan pelabur teknologi hijau dan semikonduktor, antaranya syarikat X-Fab yang melabur RM3 bilion dalam dalam pengeluaran cip baharu berasaskan semikonduktor sebatian dengan teknologi Gallium Nitride (GaN) di Sarawak iaitu teknologi yang turut diaplikasikan dalam enjin penanaman padi moden.
“Ini membuktikan Sarawak bukan sahaja maju dalam pertanian, tetapi juga bersedia menyumbang kepada industri teknologi global,” ujarnya.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, serta tetamu kenamaan lain.
Oleh Adi Safarman