
LAWAS: Kerajaan Sarawak komited memperkukuhkan aktiviti ekonomi rentas sempadan, khususnya perdagangan eksport dan import melibatkan negara jiran seperti Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata hubungan perdagangan serantau mempunyai potensi besar untuk menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, khususnya di kawasan utara negeri ini.
“Potensi perdagangan rentas sempadan (cross-border trading) sangat besar. Jumlah eksport-import kita dengan Brunei adalah tinggi dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Anjung Usahawan Kampung Pemukat Kuala Lawas, semalam.
Beliau berkata, kewujudan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei akan menjadi pemangkin dalam memperluas hubungan dagang antara kedua-dua pihak.
“Kita juga telah menjalin hubungan dagang dengan Kalimantan Utara dan merancang menaik taraf jalan raya hingga ke sempadan di Ba’kelalan untuk menggalakkan lagi aktiviti perdagangan.”
Awang Tengah turut menekankan bahawa produk halal dari Sarawak mempunyai nilai pasaran yang tinggi jika diposisikan dengan betul.
Beliau menggesa agar pengusaha kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan kualiti produk, pembungkusan, dan strategi pemasaran supaya menepati standard pasaran rentas sempadan dan antarabangsa.
“Kita perlu pastikan produk tempatan mampu menembusi pasaran luar. Ini memerlukan persediaan dari segi kualiti dan daya saing.”
Anjung Usahawan Kampung Pemukat Kuala Lawas yang menelan kos RM3 juta menjadi platform baharu untuk usahawan kecil, nelayan, petani, dan penternak menjual produk mereka tanpa melalui orang tengah.
Menariknya, pusat ini dibina di atas air, memberi nilai estetika dan kemudahan niaga yang unik bagi komuniti pesisir.
Oleh Adeng Edrus