
MIRI: Lebih separuh daripada populasi dewasa di Sarawak berada dalam kategori berisiko tinggi untuk menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), kadar prevalens berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan dewasa di Sarawak meningkat daripada 48.5 peratus pada 2015 kepada 53.3 peratus pada 2023.
“Ini bermaksud lebih separuh daripada populasi dewasa kini berisiko tinggi. Antara punca utama ialah ketidakseimbangan tenaga akibat pengambilan kalori berlebihan, khususnya daripada gula tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat Negeri Sarawak dan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Bahagian Miri 2025, yang berlangsung di Bintang Mega Mall, petang tadi.
Menurut Fatimah, dapatan NHMS 2024 turut menunjukkan bahawa 63.1 peratus remaja dan 47.0 peratus dewasa di Malaysia mengambil gula melebihi saranan harian, dengan separuh daripada jumlah itu diperoleh daripada minuman bergula.
Sehubungan itu, kerajaan telah mengambil langkah progresif sejak 2019 dengan mengenakan cukai terhadap minuman bergula. Katanya, kadar cukai tersebut akan dinaikkan kepada RM0.90 seliter bermula 1 Januari 2025, selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengurangkan pengambilan gula sekurang-kurangnya 20 peratus menerusi mekanisme harga.
“Langkah ini disokong melalui pelaksanaan Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024–2030 yang memperkukuh pendekatan antara sektor serta intervensi menyeluruh,” jelasnya.

Fatimah turut menggesa masyarakat agar menjalani saringan pemakanan dan kesihatan secara berkala yang disediakan secara percuma di fasiliti kesihatan kerajaan.
Katanya, pengesanan awal bukan sahaja dapat mengenal pasti risiko penyakit, malah membolehkan intervensi awal dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang.
“Berdasarkan dapatan NHMS, usaha advokasi pemakanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus diperkasa dengan pendekatan yang lebih praktikal dan mesra masyarakat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai menyokong inisiatif ‘Perang Terhadap Gula’ yang membawa mesej utama: ‘Gula, 1 Sudu Teh Dah Cukup. Kurang, Lebih Baik. Tiada, Terbaik.’
Oleh Liong Chai Ling