
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkukuh penggunaan acara perniagaan sebagai instrumen strategik apabila Acara Perniagaan Perikatan Sarawak (BESA) dilancarkan bagi menyelaraskan kerjasama antara kementerian dan agensi negeri mulai 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan tersebut membolehkan semua kementerian memanfaatkan acara perniagaan sebagai alat penyampaian dasar, pembangunan sektor serta penciptaan legasi jangka panjang.
Ucapan dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bagi mewakili Premier Sarawak sempena Forum Acara Perniagaan Sarawak Pertama 2025 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurut beliau, setiap kementerian akan bekerjasama secara strategik dengan Acara Perniagaan Sarawak bermula 2026 bagi menggunakan acara perniagaan sebagai alat penyampaian dasar, pembangunan sektor dan pembinaan legasi yang berterusan.
Beliau berkata, melalui kerjasama tersebut, kementerian akan komited untuk memiliki dan menganjurkan sekurang-kurangnya dua acara perniagaan nasional atau antarabangsa berteras legasi, yang akan diberi pertimbangan keutamaan di bawah Dana Acara Perniagaan Sarawak.
Selain itu, Acara Perniagaan Sarawak akan membantu kementerian dalam aspek kelayakan, penilaian dan pemudahcaraan pembiayaan bagi acara yang disokong, tertakluk kepada pematuhan kriteria dan keperluan penilaian berteras legasi.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian dan agensi akan dijemput menyertai program latihan dan pendidikan yang disasarkan serta menghadiri acara perniagaan terpilih di peringkat nasional dan antarabangsa bagi memperkukuh keupayaan penganjuran serta pemindahan ilmu.
Menurut beliau, pendekatan tersebut memperkasakan kementerian bukan sekadar sebagai peserta, sebaliknya sebagai pemilik impak jangka panjang.
Premier Sarawak berkata sektor acara perniagaan telah menyumbang secara bermakna kepada pembangunan Sarawak sejak hampir dua dekad lalu merentasi pelbagai sektor termasuk pelancongan, tenaga, kesihatan, pendidikan, sains dan teknologi.
Beliau berkata, sejak pelancaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) pada 2021, Sarawak telah berjaya memperoleh pelbagai acara perniagaan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menurut beliau, acara-acara tersebut bukan sekadar perhimpunan, sebaliknya berfungsi sebagai platform strategik untuk mempercepat pembangunan sektor, menarik pelaburan, memperkukuh keupayaan penyelidikan serta memposisikan Sarawak di peringkat global.
Beliau menegaskan bahawa masa depan Sarawak memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan, dengan semua kementerian bergerak seiring menggunakan acara perniagaan sebagai instrumen strategik yang menghubungkan dasar kepada tindakan serta visi kepada legasi berterusan.
Oleh Shikin Mahmud