Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak perkukuh penglibatan global di MWC Barcelona 2026, sasar GDP RM282 bilion menjelang 2030
  • TEMPATAN

Sarawak perkukuh penglibatan global di MWC Barcelona 2026, sasar GDP RM282 bilion menjelang 2030

Utusan Sarawak 5 hours ago
KERAJAAN Sarawak membentangkan agenda pembangunan hingga 2030 di MWC Barcelona 2026, menekankan pertumbuhan ekonomi mampan dan transformasi digital.

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak memperkukuh penglibatan global di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Barcelona 2026 dengan objektif jelas untuk meletakkan Sarawak sebagai ekonomi berpandangan jauh dan bersedia menerima pelaburan.

Pada acara teknologi dan kesalinghubungan terkemuka dunia itu, Sarawak akan membentangkan agenda pembangunan negeri sehingga 2030 serta menggariskan bidang keutamaan pelaburan, dengan penekanan terhadap pelaksanaan praktikal dan pertumbuhan mampan.

Sarawak menyasarkan untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion menjelang 2030, selain mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus berbanding tahap 2005, serta meningkatkan pendapatan median isi rumah bulanan kepada sekitar RM15,000.

Sebagai wilayah terbesar di Malaysia, Sarawak memiliki kapasiti tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur perindustrian serta keupayaan digital yang semakin berkembang dalam persekitaran dasar yang stabil dan kondusif untuk pelaburan.

Agenda transformasi digital negeri diperkukuh melalui pembangunan infrastruktur telekomunikasi yang meluas, dengan liputan internet kini melebihi 90 peratus kawasan berpenduduk, disokong peluasan rangkaian gentian optik, inisiatif jalur lebar luar bandar dan penyelesaian sambungan satelit, selain kesiapsiagaan ekosistem 5G yang sedang diperkembangkan.

Dari segi tenaga, sumber boleh diperbaharui membentuk tulang belakang sistem bekalan tenaga Sarawak, dengan tenaga hidro menyumbang 60 peratus daripada kapasiti terpasang sebanyak 3,558 megawatt (MW), diikuti gas sebanyak 22 peratus (1,296 MW), arang batu 15 peratus (891 MW), diesel dua peratus (103 MW) dan solar satu peratus (50 MW).

Kerajaan Sarawak turut melaksanakan program seperti SMART600 yang menyediakan 600 menara komunikasi serta Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) bagi memperluaskan akses internet berkelajuan tinggi ke kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Pertumbuhan perindustrian pula disokong melalui pembangunan zon strategik seperti Taman Teknologi Tinggi Kuching (Zon Bebas) dan kluster perindustrian Samalaju, yang menyediakan bekalan tenaga stabil, rangkaian logistik dan pembangunan tenaga kerja bagi menyokong sektor pembuatan bernilai tinggi termasuk ekosistem berkaitan semikonduktor.

Sarawak juga menyasarkan untuk mewujudkan lebih 300,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2030, dengan pembangunan modal insan menjadi keutamaan melalui pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma bermula 2026 serta Pakej Pekerjaan Sarawak (SPACK) bagi menyokong pembangunan dan pengekalan bakat dalam sektor strategik.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Julaihi Narawi berkata, penyertaan Sarawak dalam MWC Barcelona 2026 menyediakan platform penting untuk memperkukuh kerjasama global serta menarik pelaburan berkualiti.

“Sarawak sedang memajukan pendekatan pembangunan yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan tanggungjawab alam sekitar.

“Platform ini membolehkan kita memperkukuh keupayaan industri dan digital serta memastikan transformasi digital memberi manfaat nyata kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

MWC Barcelona 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 5 Mac di Fira Gran Via, Barcelona, merupakan antara platform teknologi global utama yang menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan inovator dari lebih 200 negara bagi membentuk masa depan ekosistem digital.

Continue Reading

Previous: Dewan baharu RM5 juta perkasa PPDK Al-Syafie Daro
Next: Berhenti menuding jari, fokus selesai punca insiden bangunan runtuh – PDP Wilayah Tengah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.