
KUCHING: Sarawak menegaskan komitmennya terhadap pembangunan hijau apabila Sidang Kemuncak Inovasi Mobiliti Hijau 2025 menutup tirai dengan penekanan bahawa mobiliti hijau kini tanggungjawab bersama, bukan lagi satu pilihan.
Pengerusi Sarawak Skills Development Centre (Sarawak Skills), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain berkata, sidang yang berlangsung selama dua hari ini telah menjadi platform penting untuk membincangkan pendidikan dan latihan, teknologi baharu, tadbir urus serta kerjasama global yang membentuk hala tuju masa depan.
“Acara seperti ini bukan sekadar catatan dalam kalendar, tetapi mercu tanda perjalanan kita. Kita telah menyaksikan kekuatan kerjasama, ketajaman idea dan kesediaan pemimpin serta rakan strategik untuk bertindak,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan sidang di salah satu hotel terkemuka di sini, hari ini.
Menurut beliau, penglibatan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang diwakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada majlis perasmian, mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam mendukung inisiatif tersebut.
Katanya lagi, kejayaan penganjuran ini turut didorong oleh kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Sarawak Skills serta Sekretariat BIMP-EAGA dengan sokongan pelbagai agensi kerajaan dan rakan industri.
“Di Sarawak, hala tuju kita selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030). Kita bukan sahaja menekankan pertumbuhan, tetapi pertumbuhan yang inklusif, rendah karbon dan berteraskan inovasi. Mobiliti hijau adalah tanggungjawab kita semua,” tegasnya.
Tambah beliau, kerjasama rentas sempadan di rantau BIMP-EAGA dalam bidang tenaga bersih, mobiliti elektrik dan sistem pintar berpotensi membuka peluang besar yang memberi manfaat melebihi sektor pengangkutan semata-mata, malah menjanjikan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran tetamu dari luar negara untuk terus merasai keunikan budaya, warisan dan keramahan masyarakat Sarawak.
Dengan penutupan rasmi itu, Sidang Kemuncak Inovasi Mobiliti Hijau 2025 diharap menjadi pemangkin kepada tindakan konkrit serta jaringan kerjasama yang lebih kukuh dalam usaha menjadikan Sarawak peneraju mobiliti hijau di rantau ini.
Oleh Shikin Mahmud