
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kerjasama awam-swasta bagi memperkasakan ekosistem perdagangan digital negeri susulan pencapaian hampir RM12 juta jualan dalam talian menerusi platform TikTok Shop sepanjang tahun 2025 hasil inisiatif Sarawak Digital Mall (SDM) yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).
Pencapaian tersebut dikongsikan sempena Majlis Pelancaran Sarawak Digital Mall Pesta Lokal yang berlangsung di Tebingan Sungai Kuching dan disempurnakan oleh Penasihat (PKS) Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Mohd Naroden Majais, bagi pihak Premier Sarawak.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Perjanjian (MoA) dan Perjanjian Perkongsian Strategik (SPA) antara SDEC dan rakan ekosistem strategik termasuk TikTok Shop Malaysia, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) serta Rangkaian Pembayaran Malaysia (PayNet).
Menurut Naroden, pencapaian berkenaan selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembangunan ekosistem digital mampan melalui kerjasama berterusan dan tersusun antara sektor awam dan swasta.

“Inisiatif Sarawak Digital Mall membuktikan bagaimana kerjasama bersepadu antara agensi kerajaan, platform digital dan pemain ekosistem mampu menterjemahkan keupayaan digital kepada hasil ekonomi yang nyata untuk perniagaan Sarawak,” katanya.
Sepanjang 2025, inisiatif SDM telah menjana lebih 250,000 pesanan melalui 10,000 jam penstriman langsung, manakala bagi tempoh 2022 hingga 2025, jualan mencatat pertumbuhan sebanyak 132 peratus dan peningkatan pesanan sebanyak 152 peratus.

Melalui program itu, lebih 350 usahawan Sarawak berjaya menjadi penjual dalam talian aktif daripada lebih 1,600 penjual yang telah dilatih sejak 2024, dengan kebanyakannya merupakan peserta kali pertama dalam perdagangan digital dan menerima sokongan Pakej Rangsangan Penjual sehingga RM5,000.
Ketua Pegawai Teknologi SDEC, Ts. Hamadlan Hamdan berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Sarawak untuk menukar kemahiran digital kepada nilai ekonomi yang boleh diukur apabila disokong oleh ekosistem yang dirangka dan diselaras dengan berkesan.

Katanya, Sarawak akan terus memperkukuh kerjasama awam-swasta serta memperluaskan inisiatif pembangunan keupayaan bagi mengukuhkan ekosistem perdagangan digital negeri melalui agensi pelaksana seperti SDEC.
