
KUCHING: Pertunjukan fesyen antarabangsa dan malam gala sempena Forum Tekstil Eko-Fiber Dunia (WEFT) ke-12 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam, menandakan kemuncak acara dwitahunan tersebut.
Acara itu disambut meriah oleh penggiat kraf dan tekstil dari lebih 20 negara yang hadir mempamerkan kepakaran serta hasil seni mereka.
Pengerusi Bersama WEFT 2025, Melinda Omar berkata, forum tahun ini berjaya menyatukan sarjana, pereka, penggiat seni, pelajar dan pemimpin budaya dari seluruh dunia melalui pelbagai sesi forum, bengkel dan bazar kraf.
“WEFT bukan sekadar pameran tekstil, tetapi medan perkongsian ilmu, budaya dan inovasi. Sepanjang tiga hari ini, kita semua bukan hanya melihat keindahan tenunan tetapi memahami makna di sebalik tradisi, proses dan identiti,” katanya ketika berucap pada malam gala tersebut.
Forum yang bertemakan tekstil berasaskan alam sekitar itu bukan sahaja mengangkat keindahan tenunan tradisional tetapi turut mengukuhkan kepimpinan Sarawak dalam mempromosi fesyen lestari dan warisan kraf di peringkat global.
Majlis turut menyambut ulang tahun ke-40 Persatuan Atelier Sarawak, sebuah pertubuhan seni warisan yang ditubuhkan pada 1985 dan berperanan penting memartabatkan kraf tradisional Sarawak melalui jaringan dengan badan antarabangsa seperti UNESCO, AHPADA dan Asia-Pacific Craft Alliance (APCA).

Pertunjukan fesyen pada malam itu mengetengahkan hasil tenunan dan rekaan buatan tangan oleh 12 pereka terkenal antarabangsa termasuk dari India, China, Bangladesh, Filipina, Indonesia dan Malaysia, sambil menampilkan elemen pua kumbu, songket dan bahan berasaskan serat alami.
Melinda turut mengumumkan bahawa 20 delegasi antarabangsa akan dibawa melawat ke Rumah Gare, Sungai Kain, Ulu Kapit untuk menyaksikan sendiri upacara tradisional ‘ngar’ atau ‘medanting’ yang merupakan sebahagian daripada proses pembuatan kain pua kumbu masyarakat Iban.
“Kami berbangga bukan sahaja memperkenalkan hasil seni, tetapi tradisi dan cara hidup masyarakat Sarawak yang menjadi sumber inspirasi sebenar,” katanya.
WEFT 2025 dianjurkan oleh Majlis Kraf Sarawak dan Persatuan Atelier Sarawak dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan bersama isteri, Datin Melinda Claudia Bucking Lawan, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Kraf Sarawak, Suriya Charles Boas, dan beberapa tokoh industri kraf antarabangsa.
Oleh Adele Rissa