
KOTA SAMARAHAN: Kerjasama strategik antara industri, institusi pengajian tinggi serta agensi kerajaan dilihat amat penting dan tepat pada masanya dalam menyokong usaha Sarawak membangunkan ekosistem semikonduktor yang kukuh dan mampan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, Sarawak telah mengambil pendirian jelas untuk membangunkan industri semikonduktor sebagai antara pemacu utama ekonomi berteknologi tinggi negeri, dan aspirasi tersebut perlu disokong oleh bakat berkemahiran, institusi yang relevan serta rakan strategik bertaraf global.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Libat Urus SMD Semikonduktor Bersama Institusi Pengajian Tinggi/Teknikal dan Agensi Kerajaan, dengan kerjasama Universiti Bristol.
Menurut Francis Harden, kehadiran Universiti Bristol yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam penyelidikan semikonduktor lanjutan memberi peluang besar kepada Sarawak untuk berinteraksi secara langsung dengan universiti yang mempunyai rekod kukuh dalam menterjemahkan kecemerlangan akademik kepada impak industri.

“Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak meletakkan pembangunan bakat sebagai teras utama. Walaupun sehebat mana infrastruktur atau setinggi mana minat pelabur, industri semikonduktor tidak akan dapat bergerak ke hadapan tanpa tenaga kerja yang berkemahiran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) telah melaksanakan pendekatan pembangunan bakat yang berstruktur dan dipacu industri dengan sasaran melahirkan generasi baharu profesional semikonduktor menjelang 2030 bagi memenuhi keperluan tempatan dan global.
Francis Harden turut menekankan kepentingan pembangunan saluran bakat masa depan melalui inisiatif seperti SMD IC Design Make-A-Thon, yang memperkenalkan reka bentuk litar bersepadu kepada pelajar sekolah menengah dan universiti pada peringkat awal bagi menyemai minat terhadap kerjaya dalam bidang semikonduktor.
Selain semikonduktor, beliau berkata Sarawak juga meneroka peluang dalam sektor teknologi tinggi lain termasuk aeroangkasa, melalui pembangunan pendidikan, latihan dan pendedahan industri dengan kerjasama rakan strategik, selari dengan strategi kepelbagaian ekosistem teknologi negeri.
“Program hari ini memberi peluang berharga kepada institusi tempatan untuk menanda aras kurikulum, meneroka kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan serta memahami bagaimana universiti terkemuka dunia bekerjasama rapat dengan industri,” katanya.
Menurutnya, penglibatan itu diharap dapat membawa kepada kerjasama berterusan dan bermakna dalam pembangunan bakat, penjajaran kurikulum serta penyelidikan gunaan, sekali gus memastikan pertumbuhan industri semikonduktor Sarawak dipacu oleh bakat tempatan dan disokong perkongsian global yang kukuh.
Antara inisiatif utama ialah Program Penguasaan Semikonduktor CENTEXS–SMD yang menyediakan latihan khusus dan intensif bagi melahirkan bakat bersedia industri, khususnya dalam bidang bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC).
Program ini menekankan latihan praktikal dan gunaan selari dengan keperluan sebenar industri.
Usaha tersebut turut diperkukuh melalui skim penajaan dan biasiswa kerajaan negeri, termasuk menerusi Yayasan Sarawak, yang memberi keutamaan kepada bidang teknologi strategik seperti semikonduktor.
Langkah itu memastikan pelaburan awam dalam pendidikan menyokong keutamaan ekonomi dan teknologi jangka panjang Sarawak.
Dalam masa sama, pendedahan industri dipertingkatkan melalui latihan industri, penempatan industri serta latihan gunaan bagi memastikan pelajar dan profesional muda memperoleh pengalaman praktikal di samping pembelajaran akademik, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam industri bernilai tinggi.
Oleh Norman B