Sarawak perkukuh ekonomi hijau menerusi pemuliharaan hutan lestari

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
RASMI… Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan perasmian Persidangan Perhutanan Malaysia (MFC) Ke-21 2026.

KUCHING: Sarawak terus memperkukuh agenda ekonomi hijau dengan menjadikan pemuliharaan khazanah hutan secara lestari sebagai antara strategi utama dalam menangani cabaran perubahan iklim dan memacu pembangunan mampan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri komited mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar melalui pendekatan pembangunan yang lebih lestari.

Beliau berkata, Sarawak turut mengunjurkan peralihan sumber pendapatan daripada hasil pembalakan konvensional kepada perdagangan karbon antarabangsa bagi memastikan kelestarian ekosistem untuk jangka panjang.

“Kerajaan negeri mengunjurkan peralihan korporat daripada hasil pembalakan konvensional kepada perdagangan karbon antarabangsa bagi memastikan kelestarian ekosistem jangka panjang,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perhutanan Malaysia (MFC) Ke-21 2026 di sebuah hotel di sini, semalam.

Menurut beliau, Sarawak kini bekerjasama dengan Bank Dunia bagi membangunkan kaedah yang diyakini untuk menentukan nilai pasaran kredit karbon serta mekanisme mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih.

Katanya, penguatkuasaan Ordinan Pelepasan Gas Rumah Hijau Sarawak turut memperkukuh kedudukan negeri dalam meneroka pasaran tenaga hidrogen hijau berasaskan teknologi elektrolisis.

Pada majlis sama, Jabatan Hutan Sarawak memeterai beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan rakan strategik termasuk Sarawak Energy, Tulen International, Craun Research Sdn. Bhd., Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan Buku Rekod Malaysia (MBOR) bagi penanaman spesies pokok asli tersenarai dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) terbanyak di hutan simpan dalam tempoh setahun.

Selain itu, Rizab Alam Semula Jadi Bukit Lima di Sibu turut diiktiraf sebagai kawasan tanah gambut bandar yang dilindungi terbesar di Malaysia dengan keluasan 301 hektar.

Persidangan dwitahunan bertemakan “Hutan sebagai Pemangkin Ekonomi Hijau” itu menghimpunkan 79 pembentangan teknikal bersempena ulang tahun ke-60 penganjurannya sejak 1966.

Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Wira Anis Rizana Mohd. Zainudin, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datu Abang Ahmad Abang Morni, Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad serta Ketua Konservator Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Zulkifli Suara.

NADMA giat nilai keperluan PPS di Sarawak

KOTA SAMARAHAN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang giat menilai keperluan kemudahan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak