Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak perkukuh bekalan air bersih melalui Stesen Pam Penggalak Tebelu
  • TEMPATAN

Sarawak perkukuh bekalan air bersih melalui Stesen Pam Penggalak Tebelu

Utusan Sarawak 20 hours ago
MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi merasmikan Stesen Pam Penggalak Tebelu, hari ini. Foto UKAS

SEBUYAU: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha memastikan bekalan air bersih dan terawat kepada seluruh rakyat dengan merasmikan Stesen Pam Penggalak Tebelu di Daerah Sebuyau.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata projek ini merupakan antara inisiatif penting kerajaan ke arah mencapai 100 peratus liputan bekalan air menjelang 2030.

Menurut beliau, pelaksanaan Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan pembangunan Sistem Grid Bekalan Air yang diilhamkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah langkah strategik jangka panjang dalam menyelesaikan isu bekalan air secara menyeluruh, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM4.6 bilion di bawah Pembiayaan Alternatif dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12), merangkumi 407 projek bekalan air.

“Setakat ini 71.7 peratus daripadanya telah siap,” katanya dalam ucapan perasmian Stesen Pam Penggalak Tebelu, hari ini.

MENTERI Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi menghadiri perasmian Stesen Pam Penggalak Tebelu, hari ini. Foto UKAS

Projek pembinaan Stesen Pam Penggalak Tebelu ini merupakan sebahagian daripada Projek Rakyat Pakej 3C dengan kos keseluruhan sebanyak RM36.7 juta yang dimulakan pada 2019 dan disiapkan pada awal 2023, projek ini kini beroperasi sepenuhnya.

Beberapa komponen penting telah dibina termasuklah Stesen Pam Penggalak Tebelu yang mempunyai kapasiti 7.8 juta liter sehari, tangki sedutan konkrit berkapasiti 2.3 juta liter, dan tangki aras tinggi 3.0 juta liter di persimpangan Sebuyau.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan RM1.1 bilion untuk projek penggantian serta naik taraf saluran paip sepanjang 2,742 kilometer (km) di seluruh negeri, sebagai langkah untuk mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW).

Bagi Bahagian Samarahan, sejumlah RM14.8 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan lapan projek penggantian paip baharu sepanjang 40.7km, yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh 2024 hingga 2025.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap isu vandalisme terhadap aset kerajaan yang menyebabkan kerugian berjuta-juta ringgit dan memberi kesan kepada kelangsungan hidup rakyat.

Justeru, beliau menggesa orang ramai agar bekerjasama membanteras aktiviti ini dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Kerajaan Sarawak komited untuk terus menambah baik infrastruktur, utiliti, dan memastikan rakyat menikmati perkhidmatan bekalan air yang berkualiti, mampan dan menyeluruh,” katanya lagi.

-UKAS

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Program Kembara Zon Borneo 2.0 satukan belia pelbagai kaum
Next: Kemajuan projek jalan raya berkembar Bintulu terjejas akibat isu tanah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.