
LUBOK ANTU: Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) berkaitan Hasil Hutan Bukan Kayu (NTFP) serta Majlis Perasmian Jambatan Gantung Lubuk Pantu telah berlangsung dengan meriah di Rumah Tinggau, Lubuk Pantu, Ulu Engkari, kelmarin.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh yang turut menekankan kepentingan pemuliharaan sumber semula jadi dan pembangunan mampan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).


DATUK Dr Malcolm Mussen Lamoh semasa hadir merasmikan program berkenaan di Rumah Tinggau, Lubuk Pantu, Ulu Engkari, kelmarin. Foto: N.34 Batang Ai
Menurut beliau, kerajaan Sarawak komited melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif hijau yang menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar, seiring dengan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
“Sarawak telah merangka pelbagai dasar dan strategi hijau bagi memastikan pembangunan negeri ini bergerak seiring dengan pemuliharaan alam sekitar demi masa depan yang lestari,” katanya dalam ucapan perasmian tersebut.
Beliau menambah bahawa Dasar Ekonomi Hijau Sarawak merupakan langkah strategik kerajaan negeri dalam menghadapi cabaran perubahan iklim serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi melalui sumber semula jadi yang mampan.


DATUK Dr Malcolm Mussen Lamoh semasa hadir merasmikan program berkenaan di Rumah Tinggau, Lubuk Pantu, Ulu Engkari, kelmarin. Foto: N.34 Batang Ai
Program CEPA NTFP ini menjadi platform penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat luar bandar terhadap potensi hasil hutan bukan kayu seperti herba, madu, dan rotan yang mampu menjana ekonomi komuniti setempat tanpa menjejaskan kelestarian alam sekitar.
Pada majlis sama, Malcom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai turut meluluskan peruntukan khas di bawah Projek Khas (MRP) berjumlah RM15,000 kepada JKKK Rumah Tinggau, Lubuk Pantu, RM5,000 kepada Gerempung Wanita Rumah Tinggau dan RM10,000 kepada JKKK Rumah Bada, Nanga Talong.
Selain itu, beliau juga mengumumkan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 berjumlah RM100,000 kepada JKKK Lubuk Pantu bagi kerja baik pulih atap rumah panjang dan RM100,000 lagi kepada JKKK Nanga Talong bagi menaik taraf prasarana rumah panjang.
Dua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut menerima bantuan iaitu PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Engkari (RM10,000) dan PIBG SK Nanga Tibu (RM5,000) bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program tambahan di sekolah luar bandar.
Turut hadir Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, Pegawai Daerah Lubok Antu, Akoi Ejau, pegawai kanan Jabatan Hutan Sarawak, para pemimpin masyarakat termasuk penghulu dan tuai rumah dari kawasan sekitar serta penduduk kampung berhampiran.
Oleh Adi Safarman