
BINTULU: Kerajaan Sarawak menampilkan pendekatan baharu dalam memodenkan sektor pertanian dengan menggabungkan konsep pertanian pintar dan agropelancongan dalam projek Taman Pertanian Ketepatan di Sungai Sebiew di sini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, gabungan teknologi digital dan pelancongan desa akan menjadi daya tarikan baharu kepada generasi muda untuk menyertai sektor ini.
“Petani-petani yang kita ada sekarang rata-rata sudah tua. Golongan muda pula tidak mahu berpanas dan berpeluh kerana mereka melihat sektor ini sebagai kerja 3D, berbahaya, sukar dan kotor.
“Jadi kita perkenalkan teknologi moden seperti internet kebendaan (IoT) yang membolehkan kawalan ladang dibuat dari rumah dan bukan lagi pertanian cara lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah projek ladang pintar berkeluasan 13 hektar yang dilaksanakan di Pusat Latihan Pertanian Sungai Sebiew di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan baharu ini termasuklah pelaksanaan model agropelancongan atau ‘dagang temuai’ satu inisiatif yang bukan sahaja menyokong ekonomi luar bandar, malah menjadikan sektor pertanian lebih inklusif dan komersial.
“Kita mahu petani faham tujuan kita. Mereka perlu benar-benar faham teknologi ini supaya boleh mengambil peluang sepenuhnya.
“Kita tidak mahu buat sesuatu yang mereka sendiri tidak mampu atau tidak minat,” ujarnya.
Tambah beliau, kejayaan Sarawak dalam mengeksport ternakan seperti babi hidup ke Selangor dan Singapura membuktikan potensi sebenar jika sektor ini didigitalisasikan dan disokong sepenuhnya oleh rakyat.
Projek tersebut juga bakal menyediakan peluang latihan, pemindahan teknologi serta pembiayaan melalui Dana Agro Sarawak bagi menyokong penglibatan belia dan komuniti luar bandar dalam pertanian moden.
Oleh Carolyne Utih