
KUCHING: Sarawak memperkenal dua inisiatif pelancongan antarabangsa utama menerusi pelancaran kempen “Sarawak Welcomes You” sempena World Travel Market (WTM) London 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam pelancongan bertanggungjawab dan berasaskan pengalaman menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Menurut kenyataan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), inisiatif berkenaan, kempen Gateway to a Sarawak–Guinness World Record dan Pakej Tapak UNESCO Borneo, mencerminkan pendekatan inovatif negeri itu dalam pemasaran destinasi, serta komitmennya terhadap kelestarian, keaslian budaya dan keterangkuman.
Kempen itu dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang menegaskan bahawa visi Sarawak dalam sektor pelancongan bukan sekadar merancakkan pertumbuhan ekonomi, tetapi memberi tumpuan kepada pengalaman bermakna yang menghubungkan manusia, budaya dan alam sekitar.
“Pelancongan kini bukan lagi sekadar mengenai tempat yang dituju; sebaliknya ia berkisar tentang apa yang dipelajari, dengan siapa kita berinteraksi dan bagaimana kita berhubung dengan dunia di sekeliling,” katanya pada majlis pelancaran itu yang turut dihadiri pemimpin pelancongan antarabangsa, media global dan rakan industri.
STB memaklumkan kempen Gateway to a Sarawak–Guinness World Record akan menyaksikan Sarawak memulakan usaha mencipta rekod dunia bagi menarik perhatian audiens global, sambil meraikan warisan dan inovasi unik negeri itu. Selain pemecahan rekod, kempen ini turut bertujuan mencetus rasa ingin tahu dan memperkenalkan keaslian Sarawak kepada dunia.

Sementara itu, Pakej Tapak UNESCO Borneo yang dibangunkan bersama Lembaga Pelancongan Sabah mengetengahkan tiga khazanah warisan Borneo, iaitu Taman Negara Gunung Mulu, Taman Negara Niah dan Geopark Delta Sarawak, yang mewakili keharmonian alam semula jadi, sejarah dan komuniti.
STB memaklumkan pelancaran kempen “Sarawak Welcomes You” turut menandakan permulaan kiraan detik nasional menuju TMM 2026, dengan Sarawak memainkan peranan penting dalam membentuk naratif pelancongan negara di peringkat global.
Penyertaan Sarawak pada WTM turut diserikan dengan persembahan kebudayaan, sesi jaringan perdagangan dan penglibatan media, selain paparan digital luar rumah di lebih 645 lokasi di London yang mengundang pengunjung untuk “Discover Sarawak”.
“Warisan akan lebih kukuh apabila dikongsi bersama, dan kerjasama adalah jalan sebenar untuk usaha pemuliharaan. Dari hati kami kepada anda, dari Borneo ke London, Sarawak mengalu-alukan kedatangan anda,” tambah Abdul Karim.- Bernama