
SIBU: Kerajaan Sarawak memberi keutamaan kepada usaha mencapai liputan penuh bekalan air di seluruh negeri menerusi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, antara usaha yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan loji rawatan air baharu, menaik taraf loji sedia ada, pembangunan sistem grid paip serta penggantian paip uzur dengan paip baharu menggunakan dana kerajaan Sarawak.
“Semua projek ini dilaksanakan oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bersama agensi pelaksana iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan Sarawak Water.
“Saya bersama warga MUT dan agensi sentiasa memantau pelaksanaan projek, termasuk kerap turun ke tapak bagi memastikan kelancaran kerja,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan adalah berlandaskan Pelan Induk Air Sarawak (Sarawak Water Master Plan), Sistem Grid Air Sarawak (Sarawak Water Grid System) serta program Penggantian dan Naik Taraf Paip (Pipe Replacement & Upgrading) di seluruh negeri.
Katanya, setakat ini semua projek berjalan mengikut jadual yang ditetapkan dengan pemantauan di lapangan dilakukan secara berterusan.
Bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan, jelasnya, lawatan tapak turut melibatkan wakil rakyat tempatan, pegawai kerajaan berkaitan serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan terlibat.
Oleh Akun Giman