Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: Sarawak percepat ukur tanah NCR, 1.22 juta hektar disahkan hak pemilik
  • TEMPATAN

DUN: Sarawak percepat ukur tanah NCR, 1.22 juta hektar disahkan hak pemilik

Utusan Sarawak 2 hours ago
Datuk Len Talif semasa ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Usaha kerajaan Sarawak mempercepat dan memperkukuh pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) terus menunjukkan perkembangan ketara apabila lebih 1.22 juta hektar tanah berjaya diukur secara perimeter sejak Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu dilaksanakan pada 2010.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 947,442 hektar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian)mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak setakat 31 Oktober 2025. 

Beliau berkata, kerajaan juga mempergiat pengukuran lot individu di kawasan yang telah diwartakan bagi mempercepatkan pengeluaran hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

“Sehingga 31 Oktober 2025, sebanyak 107,467 lot melibatkan 127,016 hektar berjaya diukur untuk tujuan pemilikan individu,” katanya semasa ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. 

Menurutnya, keberadaan penuntut tanah semasa proses pengukuran di lapangan adalah penting bagi melancarkan kerja teknikal, memastikan sempadan jelas dan mengelakkan sebarang pertikaian.

Selain itu, kerajaan Sarawak turut memperkukuh pelaksanaan Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang menjadi antara mekanisme utama menyediakan tanah kediaman untuk golongan berpendapatan rendah.

“Dalam RMKe-12, sebanyak 84 projek SPS dan SPK telah diluluskan, menyediakan 8,564 lot kediaman dengan kos keseluruhan RM1.5 bilion,” katanya. 

Beliau menjelaskan bahawa 28 projek kini siap sepenuhnya, manakala baki 54 projek sedang dalam pelaksanaan sehingga penghujung Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan akan diteruskan dalam RMKe-13. Dua projek tidak dapat dilaksanakan kerana bantahan di lapangan.

Kerajaan juga menetapkan premium tanah bagi setiap lot Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) tidak melebihi RM2,500 dengan pembayaran ansuran sehingga 10 tahun, selaras komitmen membantu rakyat memiliki kediaman secara mampu bayar.

Pada masa sama, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) mengenal pasti bandar baharu, pekan baharu dan pusat perkhidmatan baharu sebagai fokus pembangunan fizikal luar bandar dengan peruntukan RM243.89 juta di bawah RMKe-12.

LCDA turut merancang 1,253 unit rumah mampu milik yang kini berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan melibatkan kawasan SPK, Pusat Pertumbuhan Desa serta Bandar Baru Sebuyau. 

Beliau menegaskan bahawa pembangunan tanah, perumahan dan perancangan kawasan luar bandar akan terus menjadi agenda utama kerajaan selaras aspirasi ekonomi inklusif dan kesejahteraan rakyat.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Sarawak sedia bawa balik guru anak tempatan, kekangan peribadi jadi cabaran – Roland Sagah
Next: DUN: 55 juta pokok ditanam, Sarawak lebihi sasaran nasional, Sabal jadi hab ekopelancongan baharu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.