KUCHING: Sarawak merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar negara dengan menghasilkan kira-kira 4 juta tan metrik minyak sawit mentah pada tahun 2020.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, data yang dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan 21.2 peratus bahagian pasaran dari segi output negara, Sarawak adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di negara ini.
“Kita menjangkakan pengeluaran akan meningkat lebih daripada 4 juta tan dengan tempoh matang ladang baharu yang ada. Sebagai penerima manfaat daripada inisiatif ini, kita menyokong Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) dalam melancarkan Pelaksanaan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) ini.
“Ia bukan sahaja memberi peluang penemuan harga alternatif tetapi juga sebagai berfungsi memperluaskan ekosistem perdagangan minyak sawit Sarawak.
“Sarawak dan Sabah menyumbang hampir separuh pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) Malaysia tetapi peluang penemuan harga untuk peserta pasaran Malaysia Timur terhad setakat ini kerana kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) tertumpu di Semenanjung Malaysia dari segi titik penghantaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelaksanaan Kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) secara maya semalam.
Abang Johari berkata, dengan penubuhan FEPO sehingga memberikan pilihan untuk kargo berasal dari pelabuhan Malaysia timur, seperti pelabuhan Bintulu, beliau percaya keadaan boleh berbeza dengan kelebihan yang ada di Sarawak.
“Saya gembira bahawa kontrak FEPO memberi kita jaminan di seberang Laut China Selatan bahawa ia akan berfungsi sebagai mekanisme penyeimbangan semula yang memungkinkan adanya mekanisme penentuan harga yang lebih baik dan pilihan untuk penghantaran fizikal di Sarawak dan Sabah.
“Saya yakin bahawa inisiatif ini akan membantu mengurangkan kerugian industri kelapa sawit kita di Sarawak dan Sabah kerana perbezaan harga dengan anggaran RM1 bilion setiap tahun,” ujarnya.
Tambahnya, BMD telah memperuntukkan Bintulu sebagai salah satu titik penghantaran yang ditetapkan untuk kontrak FEPO.
Menurutnya, Bintulu yang terletak di lokasi strategik sebagai laluan utama trafik maritim intra-Asia ia memberikan Bintulu beberapa kelebihan daya saing ketika mengeksport minyak sawit ke negara-negara pengguna utama terutama di Utara Asia.
“Di samping itu, Bintulu mempunyai kemudahan pemasangan minyak sawit terbesar di Sarawak dan menjadi titik eksport utama bagi produk minyak yang boleh dimakan.
“Bintulu mengendalikan 92 peratus eksport minyak sawit Sarawak yang dikelilingi oleh lima kilang utama dan dengan jeti minyak sawit khusus, Bintulu sememangnya merupakan salah satu Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) terbesar di Sarawak,” katanya.
Ujarnya lagi, Sarawak menduduki tempat ketiga tertinggi di negara ini dari segi Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).
“Dengan 59.2 peratus daripada 40,000 pemegang kecil minyak sawit swasta di negeri ini diperakui di bawah MSPO.
“Pensijilan MSPO, ia menjadi syarat dalam proses tender kontrak FEPO, saya percaya industri kelapa sawit Sarawak dilengkapi dengan baik untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem FEPO,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada BMD kerana berjaya menyenaraikan kontrak FEPO.
“Saya yakin bahawa dengan eksport luar biasa Kementerian Perusahaan Perladangan (MPIC) dan BMD, industri minyak sawit Sarawak akan mendorong ke arah sektor ekonomi moden dan lestari,” tambahnya.
Turut hadir, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Zuraida Kamaruddin, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Derivatives Berhad, Samuel Ho.
Oleh JEAKQLEYN YACHO