Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak pelopor gabung teknologi dan alam semula jadi tangani krisis iklim
  • TEMPATAN

Sarawak pelopor gabung teknologi dan alam semula jadi tangani krisis iklim

Utusan Sarawak 24 hours ago
DATUK Dr Hazland Abang Hipni ketika berucap pada majlis penutupan International Seminar on Humanity & Climate Change Crisis: A Multidimensional Perspective di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Sarawak menjadi antara wilayah terawal di rantau ini yang menggabungkan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan teknologi dalam menangani krisis perubahan iklim global secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, inisiatif itu diterajui menerusi penubuhan kementerian baharu yang dipimpinnya sejak 2022, selaras dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

“Premier telah menyemai benih idea ini sejak enam hingga tujuh tahun lalu. Kini, kementerian kami bertanggungjawab untuk merealisasikan agenda mitigasi iklim melalui dua pendekatan utama, penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan penyelesaian berasaskan teknologi,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis penutupan International Seminar on Humanity & Climate Change Crisis: A Multidimensional Perspective di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.

Menurut beliau, Sarawak dikurniakan kelebihan luar biasa dalam kedua-dua pendekatan tersebut.

Katanya, hampir 62 peratus daripada 12.5 juta hektar tanah negeri ini dilitupi hutan yang bertindak sebagai penyerap karbon semula jadi, selain potensi penyimpanan karbon di dasar laut yang dianggarkan mencecah 9 bilion tan.

“Ini bermakna, Sarawak mempunyai kapasiti menyimpan sehingga 10 bilion tan karbon, satu kekuatan yang tidak boleh diabaikan,” ujarnya.

Dalam aspek teknologi pula, beliau menjelaskan Sarawak mempunyai kelebihan dalam tenaga boleh diperbaharui, terutamanya melalui pembangunan hidroelektrik sejak 1985.

Jelasnya, Empangan Batang Ai merupakan titik permulaan dan kini, empangan besar seperti Murum, Bakun dan Baleh menjadi tulang belakang kepada ekonomi tenaga Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau turut menekankan empat teras utama kejayaan strategi mitigasi iklim iaitu undang-undang dan dasar, teknikal, kewangan dan perniagaan, serta pembangunan modal insan.

“Sebagai contoh, kita kini membangunkan ‘Wakaf Hijau’ di bawah teras kewangan sebagai inisiatif pembiayaan mampan yang selari dengan prinsip ekonomi Islam.

“Sementara itu, latihan teknikal turut giat dilaksanakan bagi melahirkan tenaga kerja hijau dalam sektor CCUS, metanol, bioenergi dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak kini memiliki Rangka Tindakan Ekonomi Hidrogen, Dasar Ekonomi Hijau dan Dasar Ekonomi Kesejahteraan yang komprehensif malah menjadi negeri pertama di dunia yang mempunyai dasar ekonomi hijau terperinci.

Justeru, beliau mengajak semua pihak agar menjadikan seminar ini sebagai titik permulaan kepada komitmen yang lebih mendalam dalam perjuangan global menentang krisis iklim. -UKAS

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Peluncuran Bulan Kebangsaan, Kibar Jalur Gemilang Peringkat Sarawak 2 Ogos
Next: Luar Dalam Gambaran Emosi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.