
KUCHING: Delegasi Sarawak telah menamatkan lawatan teknikal selama dua hari ke Jambi, Indonesia pada 23 hingga 24 Julai 2025 bagi mempelajari amalan terbaik pencegahan kebakaran tanah gambut dan pembakaran terbuka haram untuk mengurangkan pencemaran jerebu di negeri ini.
Lawatan yang dilaksanakan di bawah Kajian Pelan Strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) itu diketuai oleh Pengawal Kualiti Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, Datu Jack Liam, dan dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Timbalan Gabenor Provinsi Jambi, Abdullah Sani.
Delegasi turut melawat Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Jambi yang merupakan agensi rasmi pengurusan bencana di bawah Kerajaan Indonesia.

Taklimat menyeluruh disampaikan mengenai strategi kawalan kebakaran hutan dan tanah (Karhutla), sistem respons awal, serta inisiatif penglibatan komuniti.
Hari pertama diteruskan dengan lawatan ke Kampung Tangkit Baru, Muaro Jambi, yang mempamerkan pertanian nanas sebagai alternatif ekonomi mampan bagi mengurangkan pembakaran tanah secara terbuka.
Pada hari kedua, delegasi mengunjungi Daerah Operasi (DAOPS) Manggala Agni, pasukan khas pencegahan dan pemadaman kebakaran hutan Indonesia yang memberi penerangan mengenai penggunaan sistem pemantauan masa nyata, koordinasi respons pantas, dan kerjasama antara agensi termasuk Angkatan Tentera Indonesia dan pihak berkuasa tempatan.
Hasil lawatan ini akan menjadi input penting dalam merangka Pelan Strategik Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut dan Pembakaran Terbuka Haram di Sarawak, yang menekankan kerjasama pelbagai agensi, sistem amaran awal, penglibatan komuniti, serta pengurusan tanah mampan sebagai tonggak utama.