KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) mementingkan jalinan antara pelbagai sektor dalam usaha mengembangkan potensi pembangunan tenaga boleh diperbaharui di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB, Datu Sharbini Suhaili berkata ia adalah bagi menjamin kejayaan Kerajaan Sarawak mencapai status negeri maju pada 2030 melalui Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Isu yang kita hadapi sepanjang 2020 ini telah memberikan pelbagai cabaran, namun pada masa yang sama turut membuka peluang baharu.
“Sarawak kini sedang menghampiri puncak kerana kita sudah bersedia dengan strategi, rangka tindakan dan senarai pihak pelaksana yang telah kenal pasti beserta pasaran yang berpotensi.
“Dan yang paling penting adalah kita menyedari langkah yang perlu diambil dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui bagi memajukan agenda hijau di Sarawak dan rantau ini,” jelas Sharbini.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Persidangan Menteri Global Ke-2 yang dikendalikan oleh Menteri Negara, Kementerian Tenaga dan Hal Ehwal Iklim, Dr Peter Kaderjak melalui platform atas talian, baru-baru ini.
Sharbini berkata kerajaan dan sektor swasta sedang giat berusaha untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menangani masalah ekonomi yang merudum terkesan daripada wabak pandemik Covid-19.
“Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada awal tahun ini menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak bertujuan untuk merangka startegi dan dasar bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi Sarawak dalam menghadapi cabaran semasa,” jelasnya.
Pada majlis yang sama Ketua Pegawai Eksekutif SEB, James Ung menegaskan inisiatif Borneo Grid Sarawak Energy harus dijadikan sebahagian daripada penyelesaian untuk berkongsi elektrik yang dihasilkan daripada sumber yang boleh diperbaharui.
“SEB memulakan eksport ke Kalimantan Barat pada tahun 2016, menandakan tonggak utama dalam perjalanan ke arah mewujudkan visi penyambungan rentas sempadan di Borneo atau Borneo Grid.
“Peralihan Sarawak kepada tenaga hidro dari hidrokarbon sekitar satu dekad yang lalu telah mengurangkan intensiti pelepasan karbon sekitar 76.5 peratus.
“Hubungan yang sedia ada ini dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon di rantau ini serta meningkatkan kebolehbergantungan terhadap rangkaian dan kos operasi yang optima secara dua hala,” ujar Ung lagi.
Terdahulu, persidangan yang diadakan dari 26 sehingga 30 Oktober tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi, Menteri Singapura di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Industri Kedua Dr Tan See Leng, Setiausaha Tenaga Filipina Alfonso G. Cusi, Menteri Iklim dan Alam Sekitar Poland, Michal Kurtyka, Menteri Tindakan dan Iklim Portugal, Joao Pedro Matos Fernandes dan Timbalan Ketua Setiausaha Jeneral Ekonomi dan Infrastruktur Estonia, Timo Tatar.