
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju ekonomi digital dan tenaga hijau di rantau ini melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang berimpak tinggi bagi menjamin kemakmuran dan kelestarian negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dunia kini berada di ambang penyatuan dua gelombang besar iaitu kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga hijau, yang akan menentukan hala tuju ekonomi global serta cara masyarakat beradaptasi dalam era baharu ini.
Menurut beliau, Sarawak tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya berhasrat menjadi peneraju pembangunan berasaskan inovasi dengan menggabungkan kemajuan digital dan tenaga boleh diperbaharui di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Kemajuan mesti berasaskan kesejahteraan rakyat, inovasi harus membawa manfaat kepada masyarakat, dan pembangunan wajib memelihara alam sekitar,” katanya ketika berucap merasmikan Konferens Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Ke-8 (IDECS 2025) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Beliau berkata, usaha memperkukuh ekosistem digital negeri kini berada pada tahap memberangsangkan dengan liputan internet yang telah mencapai lebih 90 peratus kawasan berpenduduk hasil pelaksanaan projek Menara SMART 600, peluasan rangkaian 5G, gentian optik, serta program Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN) bagi komuniti luar bandar.

Katanya, setiap menara yang dibina bukan sekadar prasarana komunikasi, tetapi simbol peluang sama rata kepada rakyat untuk menikmati manfaat teknologi.
Selain itu, lebih 15,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak kini telah beralih ke platform digital melalui program Go Digital, Program PKS Digital (SME Digitise) dan Pusat Digital Sarawak di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), sekali gus memperkukuh daya saing PKS di peringkat global.
Dalam aspek tenaga boleh diperbaharui, Premier menegaskan Sarawak kini mendahului pelaksanaan Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan Pelan Kelestarian Sarawak 2030, dengan sasaran menjana 10 gigawatt tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 dan 15 gigawatt menjelang 2035.
“Pada masa ini, 56 peratus tenaga elektrik di Sarawak dijana daripada sumber boleh diperbaharui, terutamanya hidro. Kita kini memperluas campuran tenaga ini dengan hidrogen, solar serta teknologi penangkapan karbon,” jelasnya.
Beliau turut mengumumkan pelancaran Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 yang menandakan kemasukan negeri ke dalam industri teknologi tinggi melalui pembangunan cip kuasa Keteq AI dan cip Gallium Nitride (GaN) oleh SMD Semiconductor hasil kepakaran bakat tempatan.
Katanya, industri semikonduktor dijangka menyumbang RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak dan mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2030.
“Inovasi ini membuktikan Sarawak bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi mampu mereka cipta masa depan melalui penyelidikan dan reka bentuk sendiri,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Premier turut memperkenalkan konsep Rumah Panjang Silikon Bersepadu, yang menggabungkan kerajaan, industri, akademia dan rakan antarabangsa dalam satu ekosistem inovasi mencerminkan nilai perpaduan dan semangat gotong-royong masyarakat Sarawak dalam konteks ekonomi moden.
Abang Johari menegaskan kejayaan transformasi digital juga memerlukan pembangunan modal insan, justeru penubuhan Sarawak AI Centre (SAIC) menjadi pemangkin kepada penerapan teknologi AI dalam sektor tenaga pintar, pertanian, perancangan bandar serta logistik.
“Teknologi tidak bermakna tanpa manusia yang berilmu. Sebab itu Sarawak terus melabur dalam pendidikan dan pembangunan bakat,” katanya sambil menegaskan bahawa mulai 2026, pendidikan tinggi di institusi milik kerajaan negeri akan ditawarkan secara percuma kepada anak Sarawak.

Beliau turut memperkenalkan SarawakPass, identiti digital baharu bagi menggantikan SarawakID, sebagai sebahagian daripada usaha pendigitalan penuh perkhidmatan awam menjelang 2030 bagi memastikan perkhidmatan kerajaan lebih selamat, cekap dan mesra rakyat.
Menutup ucapannya, Abang Johari menggesa semua pihak agar memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan visi Sarawak menjadi negeri maju, makmur dan lestari menjelang 2030.
“Kepada pelabur, bina bersama kami. Kepada usahawan, berkembang bersama kami. Kepada anak muda, pimpin bersama kami,” katanya.
IDECS 2025 yang bertemakan ‘Evolusi Hijau dan Kecerdasan Buatan (AI): Pertumbuhan, Cabaran dan Ketahanan Komuniti yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama Unit Pemodenan Perkhidmatan Negeri (SSMU) dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, melibatkan lebih 2,000 peserta termasuk pemimpin industri, ahli akademik, usahawan dan delegasi antarabangsa.
Oleh Shikin Mahmud & Norman B