
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukan sebagai hab penyelidikan perubatan terkemuka di Malaysia dan rantau ini, susulan deretan pencapaian besar Hospital Umum Sarawak (SGH) termasuk pelaksanaan beberapa kajian kajian pertama ke atas manusia serta kejayaan pembedahan intrauterine pertama negara.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pencapaian itu membuktikan kemampuan pakar perubatan di Sarawak untuk melangkaui peranan perkhidmatan biasa dan bergerak ke arah kepakaran bertaraf antarabangsa.
“Pada 22 September lalu, SGH melaksanakan pembedahan intrauterine pertama di Malaysia pada kandungan berusia 26 minggu. Jika tidak dilakukan, bayi dengan spina bifida itu akan lumpuh seumur hidup. Ini kejayaan besar,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan MBKS sebagai Calon Bandar bagi Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak UNICEF, hari ini.
Beliau berkata, SGH melaksanakan pembedahan rumit itu walaupun berdepan kekurangan 4,000 kakitangan, namun komitmen pasukan perubatan tetap tidak menghalang mereka melakukan yang terbaik.
“SGH kekurangan staf, tetapi mereka tetap melangkaui apa yang sepatutnya dilakukan. Itu semangat Sarawak Nation Building,” katanya.
Dr Sim turut mendedahkan bahawa SGH kini merupakan hospital penyelidikan terbaik di Malaysia, dengan pakar penyelidik terkemuka negara datang dari hospital tersebut.
“SGH adalah hospital penyelidikan nombor satu Malaysia. Ini bukan saya kata, Perdana Menteri sendiri beri pengiktirafan itu,” katanya.
Beliau berkata tumpuan SGH terhadap penyelidikan menyebabkan syarikat farmaseutikal antarabangsa memberi kepercayaan tinggi kepada Sarawak untuk melaksanakan penyelidikan ubat-ubatan baharu.
Antaranya, syarikat gergasi farmaseutikal Roche dari Switzerland memilih SGH sebagai satu-satunya hospital di Asia Pasifik untuk menjalankan percubaan ke atas manusia bagi rawatan kanser pepejal.
“Roche mempunyai pendapatan 60 bilion franc Swiss. Mereka tidak akan datang kalau kita tidak bagus. Mereka pilih SGH sebagai tapak pertama di Asia Pasifik. Itu membuktikan tahap kebolehan kita,” katanya.
Dr Sim turut berkongsi kejayaan percubaan ubat ke atas manusia yang dilaksanakan SGH, termasuk satu ubat baharu bagi rawatan kanser darah.
“Ubat itu kemudiannya dibeli syarikat lain dengan nilai 1 bilion dolar AS. Kalau kajian itu gagal, nilai ubat itu hilang serta-merta. Sebab itu hanya hospital benar-benar berkualiti dipilih,” katanya.
Beliau berkata daripada 11 kajian pertama ke atas manusia di Malaysia sejak 2022, sembilan daripadanya dilaksanakan di SGH, menjadikan Sarawak peneraju utama negara dalam sektor penyelidikan klinikal.
Menurut Dr Sim, peningkatan pesat standard perubatan dan penyelidikan menjadikan Sarawak pusat rujukan bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa.
“Syarikat farmaseutikal global dari China turut datang ke Sarawak tahun ini. Presiden global mereka datang sendiri untuk melihat sama ada SGH benar-benar setaraf dunia. Selepas lawatan, mereka tanya satu soalan, ‘Kenapa kamu tidak promosi kepada kami lebih awal?’,” katanya.
Beliau menegaskan Sarawak pada 2025 bukan lagi Sarawak 10 tahun lalu, kerana kini banyak pihak luar mula melihat Sarawak sebagai rakan penyelidikan yang mempunyai potensi besar.
Dr Sim berkata kejayaan SGH dan Sarawak tidak boleh berhenti setakat ini, dan perlu diwarisi oleh generasi muda.
“Kita mahu anak-anak kita mampu capai pencapaian ini. Kalau generasi kita boleh capai semua ini ketika kita masih kurang, generasi seterusnya yang lahir dalam zaman lebih baik mesti mampu menjadi lebih hebat,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat