
BINTANGOR: Sarawak kini berada di landasan pembangunan pesat melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi tumpuan kepada enam sektor ekonomi utama termasuk pelancongan, pertanian moden dan tenaga hijau.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata sejajar dengan Agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030), Sarawak telah merangka dan melaksanakan pelbagai dasar serta inisiatif hijau yang menyeimbangkan antara pembangunan dan pemuliharaan demi menjamin masa depan yang lebih lestari.
“Melalui penguatkuasaan Perintah Sumber Asli dan Alam Sekitar (Aktiviti yang Ditetapkan) 1994, para pemaju projek seperti pembangunan ladang, jambatan, jalan raya dan sebagainya adalah diwajibkan untuk menjalankan kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
“Laporan kajian EIA perlu dihantar ke Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) untuk kelulusan sebelum projek tersebut dapat dimulakan.
“Semasa dalam peringkat operasi projek, para pemaju adalah diwajibkan untuk menghantar laporan pemantauan alam sekitar,” katanya.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata demikian ketika berucap di program kesedaran alam sekitar bersama komuniti anjuran NREB di Dewan Masyarakat Bintangor, baru-baru ini.
Katanya, dalam mengejar pembangunan sosioekonomi, penjagaan alam sekitar tidak seharusnya dilupakan.
“Isu alam sekitar seperti pencemaran udara, air, pembuangan sisa pepejal dan toksik, penebangan hutan yang tidak terkawal atau secara haram dan sebagainya.
“Perubahan iklim bukan lagi isu global semata-mata, Sarawak juga turut merasai kesannya.
“Cuaca ekstrem seperti banjir lebih kerap, kemarau panjang dan suhu yang meningkat, semakin jelas dirasai,” katanya.
Tambahnya, cuaca yang tidak menentu memberi kesan terhadap sektor pertanian, perikanan dan masyarakat luar bandar.
“Hasil tanaman berkurangan akibat kemarau berpanjangan, manakala komuniti nelayan turut terjejas oleh perubahan cuaca yang tidak menentu dan paras air laut yang semakin meningkat.
“Oleh itu, kita perlu mengambil langkah yang lebih serius dalam menangani isu perubahan iklim untuk memastikan kelestarian alam sekitar.
“Jika isu ini tidak ditangani dengan bijak, generasi akan datang akan menghadapi masa depan yang lebih mencabar,” katanya lagi.
Katanya, oleh itu peranan masyarakat amat penting dalam mendepani cabaran tersebut. Dalam pada itu, katanya, kerajaan Sarawak melalui NREB sentiasa menerajui pelbagai inisiatif berimpak tinggi.
“Antaranya termasuklah penguatkuasaan Ordinan Alam Sekitar 2024 serta pelaksanaan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pembebasan Gas Rumah Hijau) 2023 yang menetapkan kewajipan kepada entiti perniagaan dalam sektor ekonomi yang dijadualkan, khususnya sektor tenaga serta minyak dan gas untuk mendaftar dengan NREB, selain perlu mengemukakan laporan pelepasan karbon atau mengikut tempoh pelaporan yang ditetapkan.
“Ordinan ini turut menegaskan usaha ke arah penggunaan strategi ke arah pelepasan karbon sifar bersih dengan memberi penekanan terhadap peralihan kepada tenaga rendah karbon.
“Seiring dengan itu, kerajaan Sarawak telah menetapkan sasaran yang jelas, iaitu untuk mencapai tahap sifar bersih karbon menjelang 2050,” katanya.
Abdullah turut mengingatkan masyarakat tentang peranan masing-masing dalam mengamalkan gaya hidup mesra alam seperti mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, mengitar semula dan menjimatkan tenaga.
Turut hadir ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing; Controller Kualiti Alam Sekitar, Datu Jack Liam; Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang; dan Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Lau Chi Sing.
Oleh Earl Anek