
KUCHING: Penganjuran Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) edisi ke-6 membuka tirainya secara rasmi hari ini, menandakan komitmen Sarawak dan Malaysia untuk memacu kepimpinan tenaga bersih di peringkat serantau dan global.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menyifatkan acara berprestij ini sebagai titik perubahan penting dalam usaha kolektif menuju masa depan tenaga mampan, selamat dan inklusif.

Dalam ucapan Pengerusi Penganjur IEW 2025, Tan Sri Abdul Rahman Rahmat berkata, IEW bukan sekadar persidangan tenaga, ianya menandakan permulaan bab baharu dalam perjalanan bersama kita menuju masa depan tenaga yang mampan, selamat dan inklusif.
Dengan tema ‘From Sarawak to the World: Journey to Clean Energy Leadership’, IEW 2025 menghimpunkan lebih 400 syarikat pempamer dalam pelbagai bidang seperti tenaga boleh baharu, hidrogen, grid pintar, kecekapan tenaga, penangkapan dan penyimpanan karbon serta infrastruktur hijau.
Lebih 6,500 peserta dari 25 negara dijangka menghadiri acara ini yang bakal menjana peluang perniagaan segera berjumlah AS$2.5 juta, selain membuka laluan kepada kerjasama strategik jangka panjang.
“Apa yang paling menggembirakan saya bukan sahaja nilai pelaburan, tetapi kerjasama jangka panjang yang akan lahir daripada pertemuan di dewan ini, yang bakal mendorong kemajuan bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Sarawak kini muncul sebagai hab tenaga bersih serantau, dengan lebih 70 peratus tenaga elektriknya dijana daripada sumber boleh diperbaharui. Negeri ini juga menerajui pembangunan ekonomi hidrogen Malaysia, termasuk mengendalikan kemudahan hidrogen komersial berskala besar yang pertama di negara ini.
“IEW 2025 mengetengahkan transformasi Sarawak sebagai ‘Bateri ASEAN’ bukan hanya dari segi sumber, tetapi juga dasar, modal insan dan kerjasama,” ujarnya.
Antara acara utama IEW 2025 termasuklah IEW Summit: 50 tokoh terkemuka dalam 20 sesi strategik termasuk ucaptama oleh Premier Sarawak, Technical Talks: Pameran inovasi tenaga sebenar dan boleh digunapakai dan Future Leaders Program: Perkongsian ilmu antara bakat muda dan pemain industri.
Ruang pameran turut menampilkan demonstrasi teknologi terkini, kerjasama rentas sempadan dan peluang komersial yang unik di rantau ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan kerjasama termasuk penaja emas ENEOS, Siemens Energy, Technip Energies, Velesto Energy, Malaysia Airlines, Firefly serta Business Events Sarawak.
“IEW bukan sekadar menganjurkan sesi, kami sedang membina penyelesaian. Setiap perbincangan dan jabat tangan direka untuk menghasilkan impak nyata dan perkongsian bermakna,” jelasnya.
IEW 2025 akan berlangsung selama tiga hari dan dijangka memperkukuh lagi kedudukan Sarawak sebagai pemimpin tenaga bersih di rantau Asia-Pasifik.
Oleh Norman B.