
KUCHING: Sarawak bakal mencatat sejarah sebagai antara negeri terawal di rantau ini yang melaksanakan terapi larva secara sistematik dan terkawal bagi rawatan luka kronik.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata rawatan inovatif berasaskan sains itu bukan sahaja menjimatkan kos, malah terbukti mempercepatkan proses penyembuhan luka kronik, khususnya dalam kalangan pesakit diabetes.
“Kerjasama strategik ini akan membuka ruang kepada pelaksanaan terapi larva (maggot therapy) di seluruh negeri secara lebih tersusun dan terkawal,” katanya.
Ucapan beliau disampaikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng semasa merasmikan Persidangan 3rd D-Foot International Wound Conference 2025 di Hotel Imperial Kuching, hari ini.
Timbalan Premier Sarawak itu turut menegaskan bahawa pelaksanaan terapi ini akan disokong oleh kepakaran penyelidik dan pendidik daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), bagi memastikan tahap kualiti klinikal sentiasa dipelihara serta mematuhi standard amalan terbaik.
Dalam majlis sama, Persatuan Profesional Kesihatan Wound Care Malaysia (MSWCP) turut memeterai Surat Persefahaman (LoU) bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk menubuhkan sebuah makmal khas pembekalan larva steril bagi rawatan luka di Sarawak dan Sabah.