Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: Sarawak negeri pertama laksana levi karbon 2026 pacu transisi hijau, sumber hasil baharu
  • SEMASA

DUN: Sarawak negeri pertama laksana levi karbon 2026 pacu transisi hijau, sumber hasil baharu

Utusan Sarawak 10 mins ago
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada persidangan hari pertama Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, Petra Jaya, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Sarawak bakal menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan levi karbon bermula 2026, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju agenda transisi hijau negara serta membuka potensi sumber hasil baharu berasaskan ekonomi rendah karbon.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pelaksanaan levi tersebut adalah langkah strategik berasaskan Ordinan Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau 2023 yang memberi Sarawak kuasa undang-undang untuk mengawal dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Levi karbon ini akan dikenakan ke atas sektor minyak dan gas serta tenaga, dan kutipan hasil akan dimasukkan ke dalam Dana Perubahan Iklim
untuk menyokong projek tenaga boleh diperbaharui, inisiatif kecekapan tenaga, pemodenan grid elektrik, konservasi hutan serta program daya tahan iklim.

“Langkah ini bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon tetapi turut menginternalisasi kos alam sekitar dan sosial, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi hijau serta memastikan peralihan yang adil kepada pekerja dan komuniti terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika persidangan hari pertama Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini, hari ini. 

Beliau yang merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru menyatakan bahawa Sarawak turut bersedia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan penyelarasan cukai karbon nasional dan reka bentuk pasaran karbon yang seimbang, seiring usaha Malaysia mencapai sasaran Sumbangan Yang Ditentukan Secara Nasional (NDC).

“Dengan Ordinan telah berkuat kuasa, sistem pengukuran dan pelaporan yang mantap serta rekabentuk dasar yang hampir siap, Sarawak berada pada kedudukan terbaik untuk menerajui usaha nyahkarbon negara.

“Oleh itu, levi karbon juga berupaya menjadi sumber pendapatan baharu untuk Sarawak pada masa hadapan.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM3.4 juta pada 2026 bagi mengukuhkan kesiapsiagaan institusi dan mempercepat pelaksanaan ‘roadmap’ perubahan iklim,” jelasnya.

Beliau mengulas lanjut, sebanyak RM7 juta diperuntukkan untuk strategi Net Zero merangkumi kajian harga karbon, pelaksanaan dasar transisi tenaga serta pengukuran stok karbon hutan Sarawak.

“Penubuhan Pusat Perubahan Iklim Sarawak bakal menjadi pusat penyelarasan tindakan iklim negeri, bertumpu kepada integrasi dasar, pengurusan data dan penyelidikan serta kerjasama industri, akademia dan rakan antarabangsa.

“Flaring and Venting Rules 2025 turut diperkenalkan untuk memastikan sifar ‘routine flaring’ menjelang 2030, sebagai sebahagian komitmen Sarawak ke arah ekonomi karbon rendah.”

“Matlamat jangka panjang kita adalah mencapai Net Zero Emissions menjelang 2050 melalui peralihan tenaga bersih, industri rendah karbon serta pengurusan hutan secara mampan,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Toh Puan Fauziah terima kunjungan hormat delegasi FAMA
Next: DUN: Sarawak peruntuk RM450 juta untuk luaskan infrastruktur internet luar bandar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.