Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sarawak mulakan kajian penubuhan fakulti perubatan di UTS
  • PENDIDIKAN

Sarawak mulakan kajian penubuhan fakulti perubatan di UTS

Utusan Sarawak 4 hours ago
UNTUK ALBUM… Dr Annuar merakam kenangan bersama enam pakar yang telah dilantik sebagai ahli panel kajian kebolehlaksanaan yang akan menyediakan laporan komprehensif dalam tempoh enam bulan bagi menilai kesediaan UTS menawarkan program perubatan prasiswazah.

SIBU: Sarawak melangkah setapak ke hadapan dalam usaha melahirkan doktor bertaraf antarabangsa apabila kajian kebolehlaksanaan bagi penubuhan fakulti perubatan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) secara rasmi dimulakan hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee berkata, enam pakar telah dilantik sebagai ahli panel kajian kebolehlaksanaan yang akan menyediakan laporan komprehensif dalam tempoh enam bulan bagi menilai kesediaan UTS menawarkan program perubatan prasiswazah.

Menurut beliau, panel tersebut terdiri daripada profesor dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pakar hospital kerajaan Sarawak serta wakil sektor swasta, sekali gus memastikan kajian itu merangkumi perspektif akademik, klinikal dan industri.

“Ini bukan sekadar penubuhan fakulti perubatan, tetapi usaha strategik jangka panjang untuk memastikan Sarawak mempunyai sistem latihan perubatan sendiri yang berkualiti tinggi dan diiktiraf dunia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Panel Kajian Kebolehlaksanaan Program Perubatan.

DR Annuar ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Panel Kajian Kebolehlaksanaan Program Perubatan hari ini.

Dr. Annuar menjelaskan, antara isu paling kritikal yang akan diperhalusi ialah keperluan memiliki ‘hospital sendiri’ seperti yang ditetapkan dalam peraturan penubuhan fakulti perubatan.

“Kita akan memperincikan maksud hospital sendiri, sama ada perlu membina hospital baharu atau boleh menjalinkan kerjasama strategik dengan hospital sedia ada sebagai hospital pengajar,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UTS.

Beliau berkata, pengambilan pelajar perubatan bagi kohort pertama dijangka dihadkan kepada maksimum 50 orang, selaras dengan kelulusan Majlis Perubatan Malaysia (MMC), sebelum jumlah itu ditambah secara berperingkat selepas memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

Dalam aspek latihan klinikal, Dr. Annuar berkata Hospital Petra Jaya yang sedang dibangunkan berpotensi menjadi salah satu hospital latihan utama, selain memanfaatkan hospital kerajaan sedia ada bagi penempatan klinikal khusus seperti Otorinolaringologi (telinga, hidung dan tekak) dan oftalmologi.

Namun, tegas beliau, keutamaan utama kerajaan Sarawak ialah memastikan ijazah perubatan yang ditawarkan UTS mendapat pengiktirafan bukan sahaja di peringkat nasional, malah antarabangsa.

“Saya tekankan bahawa kita tidak boleh tersilap langkah. Ijazah ini mesti diiktiraf secara global, khususnya oleh Majlis Perubatan Am (GMC) United Kingdom,” katanya.

Menurutnya, pengiktirafan antarabangsa amat penting bagi membolehkan graduan Sarawak melanjutkan latihan kepakaran di luar negara, khususnya di United Kingdom, sebelum kembali berkhidmat untuk memenuhi keperluan negeri.

“Jika hanya diiktiraf di peringkat tempatan tetapi tidak global, ia tidak memberi manfaat jangka panjang kepada Sarawak,” jelas beliau.

Mengulas mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak, Dr. Annuar berkata, bidang perubatan dan undang-undang hanya boleh ditawarkan secara percuma selepas Sarawak mempunyai fakulti sendiri yang beroperasi sepenuhnya, seperti yang digariskan dalam garis panduan semasa.

“Selepas kajian ini, sekiranya kerajaan negeri berpuas hati dan bersetuju, kita perlu membina kemudahan fakulti, melatih pensyarah serta menyediakan semua prasarana sebelum program ini boleh dimulakan,” katanya.

Dalam perkembangan yang disifatkan sebagai sangat memberangsangkan, Dr. Annuar mendedahkan bahawa UTS telah menerima maklum balas positif daripada empat universiti ternama dunia, iaitu King’s College London, University College London (UCL), University of Dundee dan National University of Singapore (NUS).

“Keempat-empat universiti ini telah bersetuju untuk memulakan perbincangan dengan kita mulai Januari depan bagi meneroka kerjasama akademik dan pemindahan kepakaran,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan tersebut merupakan fasa seterusnya dalam kajian kebolehlaksanaan dan dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk program perubatan UTS agar setara dengan standard antarabangsa.

“Ini satu petanda jelas bahawa Sarawak berada di landasan tepat untuk membangunkan fakulti perubatan yang bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan, tetapi juga diiktiraf di peringkat global,” katanya.

Oleh Tarani Lanting

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Gandingan guru, murid pacu kecemerlangan SK Perpat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.