BINTULU: Sarawak terus mengorak langkah menjadi peneraju tenaga hijau di rantau Asia Tenggara, menerusi pelancaran Projek Metanol Hijau oleh Sarawak Petchem.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu mengintegrasikan teknologi pemerapan karbon dan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan solar.
“Metanol hijau ini adalah model kepada dunia, dan Sarawak memainkan peranan penting dalam peralihan tenaga global ke arah sumber yang lebih bersih dan mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pelepasan kargo eksport Metanol Sarawak Petchem dan Projek Metanol Hijau di Kompleks Metanol Sarawak, Tanjung Kidurong di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Abang Johari juga menyatakan bahawa Sarawak sedang merancang kerjasama dengan Jepun untuk membangunkan produk petrokimia seperti paraxylene dan ethylene.
Kerjasama itu, jelas beliau, dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor hijau dan industri masa depan, termasuk aeroangkasa.
“Dengan kepakaran anak Sarawak dan teknologi canggih, masa depan kita dalam peralihan tenaga sangat cerah,” tambahnya.
Projek Metanol Hijau bukan sahaja menjadikan Sarawak sebagai model global dalam peralihan tenaga hijau, malah juga meningkatkan kedudukan Sarawak sebagai kuasa besar dalam tenaga hijau, dengan potensi untuk memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi mampan negeri ini.
Menurut Abang Johari, projek tersebut penting dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon, menyokong Malaysia dalam mencapai matlamat peralihan tenaga global.
Justeru, beliau berharap projek tu dapat memperkukuhkan peranan Sarawak dalam sektor tenaga hijau, menjadikan negeri ini sebagai peneraju industri hijau di masa hadapan.
Oleh Carolyne Utih