KUCHING: Sarawak terus memacu transformasi ekonomi hijau dengan melangkah lebih jauh dalam kerjasama antarabangsa, khususnya dengan Jepun dan Korea dalam industri tenaga hidrogen.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak memberi tumpuan terhadap ekonomi berteraskan tenaga hidrogen dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon.
“Kerjasama ini sangat penting kerana Jepun dan Korea merupakan peneraju global dalam menangani masalah pelepasan karbon dan pengeluaran tenaga hijau.
“Pada masa sama, Sarawak juga akan menjual hidrogen ke negara-negara lain yang membuka peluang besar dalam pasaran tenaga bersih global.
“Pada 2028 kita akan keluarkan hidrogen untuk kita eksport ke Jepun. Pada masa sama kita dapat jual ke negara luar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Temu Bual Khas Pasca-Belanjawan Sarawak 2025 terbitan TVS yang dihoskan pakar ekonomi dari Universiti Malaya dan ahli Majlis Profesor Negara, Dr Muhammad Asri Mohd Ali.
Sehubungan itu, Sarawak katanya, sedang membangunkan sistem pengangkutan awam berasaskan hidrogen Aliran Transit Autonomi (ART) yang pertama di Asia Tenggara.
Infrastruktur untuk ART kini dalam pembinaan dan dijangka menjadi perintis dalam teknologi pengangkutan hijau di rantau ini.
“Kami berharap Sarawak menjadi yang pertama di Asia Tenggara dalam menggunakan hidrogen sebagai sumber tenaga untuk pengangkutan awam, yang akan mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan tenaga,” katanya. – TVS