PETRA JAYA: Sarawak terus mengorak langkah sebagai peneraju tenaga hijau di rantau ini melalui kerjasama strategik dengan Mitsubishi Heavy Industries (MHI) dengan pembinaan Loji Janakuasa Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri yang dijadual memulakan operasi penghujung Disember 2027.
Pengurus Besar Kanan, Bahagian Perniagaan GTCC, Sistem Tenaga Mitsubishi Heavy Industries, Ltd. (MHI), Takuya Murase, memaklumkan bahawa loji janakuasa itu bukan sekadar satu projek tenaga biasa, tetapi merupakan permulaan kepada kerjasama erat antara Sarawak dan MHI dalam teknologi hidrogen.
“Kami telah menerima tempahan untuk membekalkan loji janakuasa CCGT di Miri, yang direka khusus untuk menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar.
“Ini merupakan pencapaian besar dalam memperkukuh masa depan tenaga hijau di Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Takuya menambah, proses pengeluaran turbin gas bagi loji tersebut akan bermula pada 2026, dengan penghantaran ke Sarawak dijangka sekitar pertengahan tahun sama, sebelum loji itu memulakan operasi komersial pada penghujung 2027.
Beliau yang pertama kali mengunjungi Sarawak turut menyatakan kekagumannya terhadap kepesatan pembangunan negeri ini.
“Saya ingin melihat sendiri perkembangan pesat Sarawak di lapangan. Saya juga akan ke Miri esok untuk berbincang lanjut mengenai projek ini,” tambahnya.
Kerjasama tersebut selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi pemacu utama tenaga hijau di rantau ini, sejajar dengan pelan pembangunan ekonomi rendah karbon yang digariskan oleh kerajaan negeri.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Naib Presiden Kanan Mitsubishi Power Asia Pacific Kazuki Ishikura, Pengurus Besar Mitsubishi Heavy Industries Kuala Lumpur (MHI-KL) Daisuke Wakasugi, Pengurus Besar Kanan Mitsubishi Power Asia Pacific Ong Hui Leong serta Ketua Cawangan Mitsubishi Power Asia Pacific Masato Sakamoto, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sarawak, Datu Abang Ahmad Abang Morni dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili.