
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
KUCHING: Kerajaan Sarawak memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan penerokaan gas di kawasan luar pesisir barat negeri ini dan tempat lain di pelantar benua dalam usaha meningkatkan pengeluaran bahan api itu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini bagi memastikan Petronas dapat membekalkan akses gas yang terjamin sebanyak 1.2 bilion kaki padu standard sehari untuk kegunaan domestik di Sarawak.
Katanya, jumlah itu adalah selaras dengan keperluan penggunaan gas untuk pelaksanaan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
“Kerajaan Sarawak perlu memastikan bahawa jumlah gas yang dijamin ini dilaksanakan pada harga wajar atau harga yang akan menggalakkan pelaburan dan industri di Sarawak.
“Demi kepentingan negara, kerajaan Sarawak komited memastikan bahawa isipadu gas yang dijamin serta sebarang gas tambahan dihasilkan dari luar pesisir barat Sarawak dan tempat lain di pelantar benua akan digunakan secara mampan.
“Ia bagi menyokong pertumbuhan industri di Sarawak, menampung permintaan tenaga di Semenanjung dan pengeluaran bersih tenaga, selaras dengan hasrat yang diisytiharkan oleh Kerajaan Persekutuan bahawa Sarawak akan menjadi hab tenaga bersih untuk negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam yang memperakui Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai agregator gas di Sarawak.
Anwar turut menperakui Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) adalah undang-undang yang membolehkan Sarawak untuk mengambil bahagian secara aktif dalam industri minyak dan gas di Sarawak.
Abang Johari dalam kenyataan sama itu turut menyatakan penghargaan ke atas kenyataan Anwar yang memperakui dua perkara berkenaan.
Menurutnya, beliau berjaya mencapai persefahaman dengan Perdana Menteri berhubung isu minyak dan gas demi kepentingan negara.
“Persefahaman yang dicapai adalah semua pihak harus menghormati undang-undang Persekutuan dan negeri termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan DGO 2016.
“Petronas dan Petros akan bekerjasama sebagai rakan kongsi untuk memajukan negara dan kepentingan negeri dan hasil dan kepentingan Sarawak perlu diutamakan.
“Walaupun Petros mengambil peranan sebagai agregator gas, kontrak sedia ada yang dimeterai oleh Petronas dan anak syarikatnya tidak terjejas sekali gus membolehkan Petronas memenuhi obligasi kontrak domestik dan antarabangsanya.
“Namun ia tidak menjejaskan peranan Petros sebagai pengumpul gas dan tidak bercanggah dengan peruntukan DGO 2016,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mendukung dan menjaga hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan negeri serta diberikan kepada Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Di samping menjaga hak dan kuasa perlembagaan, kerajaan Sarawak mengiktiraf aspirasi rakyat Sarawak terhadap sistem penggunaan gas yang lebih baik dan peruntukan perlu diseimbangkan dengan keperluan bagi kestabilan dan pertumbuhan industri O&G di Sarawak, terutama ketika berdepan cabaran ekonomi global dan peralihan ke arah tenaga boleh baharu,” katanya.