Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak Metro tambah 55 lagi bas hidrogen
  • TEMPATAN

Sarawak Metro tambah 55 lagi bas hidrogen

Utusan Sarawak 11 months ago
KETUA Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) Ts. Mazli Mustaffa bersama barisan panel jemputan yang lain dalam perbincangan kajian kes mengenai Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) sempena Persidangan Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH 2024) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching yang berlangsung, semalam.

PETRA JAYA: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) akan mendapatkan 55 lagi bas hidrogen, untuk berfungsi sebagai bas pengantara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts. Mazli Mustaffa berkata ini bagi menyediakan ‘sambungan pertama dan terakhir’ bagi penumpang yang menggunakan Sistem Aliran Transit Automasi (ART).

“Ini adalah komitmen kami untuk mengubah sistem pengangkutan awam Kuching melalui penggunaan ART yang dikuasakan oleh hidrogen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajian kes mengenai Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) sempena Persidangan Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH 2024).

Sarawak Metro telah diamanahkan untuk menjadi pelaksana, penyelenggara dan pengendali Projek KUTS, bertujuan untuk menyediakan pengangkutan awam yang boleh dipercayai, selamat dan mampan.

Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), kini sedang melaksanakan projek KUTS, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping meningkatkan produktiviti dan perkembangan ekonomi.

GAMBAR fail menunjukkan perkhidmatan bas hidrogen yang beroperasi di Bandar Raya Kuching.

Projek KUTS sedang dibangunkan secara berperingkat, dengan Fasa 1 terdiri daripada tiga laluan utama:

Laluan Biru sepanjang 27.6km dari Rembus di Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar raya Kuching; Laluan Merah 12.3km dari Kuching Sentral ke Pending; dan Laluan Hijau sejauh 30km dari Pending ke Damai.

Mazli berkata komitmen Sarawak Metro kini disokong oleh hampir setengah dekad pengalaman dalam mengendalikan dan menyelenggara perkhidmatan bas penumpang hidrogen pertama di Asia Tenggara, sejak 2020.

Katanya, operasi percubaan bas hidrogen telah membolehkan Sarawak Metro mengumpul pengalaman dan maklumat yang tidak ternilai dalam mengendalikan kenderaan pengangkutan awam tanpa pelepasan karbon.

“Sehingga hari ini, kami telah mengumpul hampir lima tahun pengalaman unik dalam operasi dan penyelenggaraan kenderaan pengangkutan awam yang dikuasakan oleh hidrogen ini yang pertama beroperasi di Asia Tenggara,” katanya.

Mazli berkata dengan pengalaman itu Sarawak Metro bersedia sepenuhnya untuk operasi dan penyelenggaraan armada masa depan KUTS yang terdiri daripada kenderaan ART dan bas pengantara yang dikuasakan oleh hidrogen hijau.

“Dengan jarak 300 kilometer (km) dan tanpa pelepasan, bas hidrogen kami adalah teman yang sempurna untuk sistem ART kami,” katanya.

Selain membentangkan kajian kes mengenai Projek KUTS, Mazli juga merupakan salah seorang panelis forum yang membincangkan topik ‘Forging Ahead: Keeping up with the Green Hydrogen Developments in Sarawak’.

Persidangan dan pameran APGH 2024 selama tiga hari ini menghimpunkan pemimpin industri, pakar dan pihak berkepentingan untuk membincangkan kemajuan dan masa depan teknologi hidrogen hijau di rantau Asia Pasifik.

Oleh Nickelyson Lakun

Continue Reading

Previous: RUU perdagangan karbon ke Dewan Rakyat akhir tahun
Next: Mendiang Donald Lawan berjasa angkat martabat masyarakat Dayak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.