
KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd terus mempergiat usaha meminimumkan kesan aktiviti pembinaan Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), khususnya terhadap komuniti yang tinggal berhampiran kawasan projek.
Dengan kerja pembinaan yang kini semakin rancak, syarikat itu memberi jaminan bahawa kontraktor infrastruktur yang terlibat akan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan gangguan kepada penduduk sekitar, terutama di kawasan berpenduduk padat seperti Kuching dan Kota Samarahan.
Menurut Sarawak Metro, ruang penambahbaikan sentiasa ada, dan pihaknya bersedia meneliti serta menangani sebarang isu yang timbul demi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.
Baru-baru ini, sebuah laporan media menyorot keluhan seorang penduduk yang tinggal berhampiran salah satu tapak pembinaan di sepanjang jajaran Blue Line.
Susulan itu, Sarawak Metro bersama kontraktor infrastruktur terbabit telah mengadakan sesi libat urus dengan penduduk termasuk individu yang terlibat dalam laporan tersebut. Beberapa langkah mitigasi kesan kini sedang dilaksanakan.
Sebagai susulan kepada sesi libat urus minggu lalu, wakil Sarawak Metro dan kontraktor turun padang hari ini meninjau tapak pembinaan dan berinteraksi dengan beberapa penduduk bagi memantau keadaan semasa.
Berkenaan isu yang dibangkitkan media berkaitan ‘permintaan menggunakan bekalan elektrik dari rumah penduduk bagi tujuan pembinaan’, Sarawak Metro menjelaskan bahawa perkara itu melibatkan salah satu sub-kontraktor bagi Pakej 2 Jajaran Blue Line.
Tawaran itu dibuat untuk tempoh sehari sahaja kerana set penjana kuasa mereka masih belum tiba di tapak. Namun selepas tawaran ditolak dan set penjana tiba kemudian, isu tersebut dianggap selesai.
Sarawak Metro menzahirkan penghargaan atas maklum balas yang diterima daripada orang awam, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha membangunkan sistem pengangkutan awam moden dan mesra alam demi kemudahan masa depan warga Kuching.